BANGKOK, 20 DIS – Para penyelamat menemui seorang kelasi terselamat dan lima jasad dari sebuah kapal tentera laut Thailand yang karam pada hujung minggu lalu di Teluk Thailand, pegawai-pegawai tentera laut berkata hari ini, ketika harapan pudar bagi lebih 20 orang yang masih hilang.
Pegawai-pegawai mengakui bahawa jaket-jaket keselamatan tidak mencukupi bagi semua orang di atas kapal berkenaan.
HTMS Sukhothai, korvet yang telah berkhidmat selama 35 tahun, karam pada malam Ahad lalu di lautan yang bergelora dengan 105 orang di atasnya. Tentera laut berkata bahawa kiraan awal seramai 106 orang di atas kapal itu adalah tidak betul kerana seorang kelasi gagal menyertai pelayaran tersebut.
Pemerintah tentera laut Laksamana Cherngchai Chomcherngpat awalnya pada satu sidang media di Bangkok berkata bahawa dua orang telah diselamatkan hari ini, namun kemudian berkata dia menerima maklumat terkini bahawa hanya seorang hidup dan lima jasad telah ditemui.
Berdasarkan perangkaan itu, 76 orang kini telah diselamatkan, lima ditemui mati dan 23 masih hilang.
Ketua Turus Tentera Laut, Laksamana Chonlathis Navanugraha berkata mangsa selamat dan jasad-jasad berkenaan di samping beberapa serpihan, ditemui kira-kira 60 kilometer dari di mana kapal berkenaan karam.
Beliau berkata, Amerika Syarikat, Britain dan Malaysia telah menawarkan untuk memberi bantuan dalam pencarian itu.
Mangsa selamat berkenaan, dikenal pasti sebagai Chananyu Kansriya, ditemui terapung-apung di laut kira-kira 3 petang dan diselamatkan oleh sebuah kapal kargo yang melintas, Chonlathis berkata Sebuah frigat tentera laut membawanya ke daratan.
Naib Laksamana Pichai Lorchusakul, pemerintah 1st Naval Area Command, memberitahu pemberita-pemberita bahawa Chananyu dalam keadaan lemah dan menerima rawatan perubatan di atas frigat berkenaan, yang mempunyai kemudahan menyerupai hospital bergerak.
Dia dipetik sebagai berkata oleh akhbar Thai Rath bahawa usaha-usaha pencarian telah dipercepatkan, bagaimanapun orang yang hilang tidak dijangka selamat di laut lebih lama daripada dua hari.
Chonlathis agak optimistik. “Kami masih mempunyai harapan,” katanya. “Berdasarkan arus air dan angin, ia masih bergerak ke pantai. Itu adalah nasib baik. Kami terus mencari dengan harapan.” – AP