Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Karipap snek pilihan ramai

    Oleh Afiq Zainuddin –

    Karipap sejenis kudapan yang boleh dinikmati bila-bila saja dan boleh didapatkan di gerai, kafe dan restoran.

    Terdapat juga pasar raya menjual karipap sejuk beku untuk mereka yang tiada masa untuk membuatnya dan hanya tahu digoreng saja.

    Karipap juga menjadi pilihan hidangan ringan di majlis kenduri atau jamuan.

    Keunikan karipap terletak pada kombinasi rasa antara kulit pastri yang lembut dan inti yang beraneka ragam, memberikan cita rasa yang lazat dan memuaskan.

    Karipap bergantung pada kulit pastri yang ditekap nipis dan diisi dengan pelbagai jenis inti seperti kentang, daging, kari atau telur. Karipap biasanya digoreng sehingga kulitnya menjadi rangup dan keemasan.

    Foto Canva
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Bercerita secara ringkas antara bahan-bahan yang diperlukan terbahagi kepada dua iaitu bahan-bahan untuk inti dan untuk pastri atau doh. Bahan-bahan untuk intinya adalah seperti ubi kentang, daging atau ayam, serbuk kari, bawang besar, bawang merah, daun kari dan minyak masak. Manakala bahan-bahan untuk pastrinya adalah seperti tepung gandum, marjerin, garam, gula dan minyak masak.

    Bagi menghasilkan intinya, mula-mula bersihkan daging atau ayam kemudian di potong hingga kecil. Seterusnya kupas dan basuh kentang dan bawang besar lalu potong hingga kecil seperti buah dadu. Seterusnya potong bawang merah, lurut daun kari dan bancuh serbuk kari supaya menjadi pes.

    Selepas itu untuk memasak intinya pula, panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bawang merah, bawang besar dan daun kari sehingga naik baunya. Selepas itu masukan pes kari dan kacau sehingga ia pecah minyak. Kemudian masukkan daging, kacau dan masak selama beberapa minit sehingga ia berubah warna, masukkan kentang, garam, air dan kacau sebati. Kemudian tutup kuali dan masak hingga kentang itu menjadi empuk dan intinya hingga kering. Setelah itu angkat dan biarkan sejuk.

    Manakala untuk menyediakan pastri atau dohnya pula, mula-mula panaskan minyak masak bersama marjerin, masukkan tepung gandum dan garam ke dalam mangkuk kaca, gaul hingga rata, kemudian buat lubang di tengah-tengah. Selepas itu tuangkan minyak dan marjerin panas ke dalam lubang, gaul sebati dengan menggunakan sudip. Setelah itu, uli sambil memasukan air sedikit demi sedikit sehingga doh tidak melekat di tangan dan mangkuk.

    Selepas itu canai doh kepada ketebalan 3mm, terap doh dengan penerap bulat untuk membentuk kulit karipap. Ambil satu keping kulit karipap, isikan dengan satu sudu besar inti dan basahkan tepinya dengan sedikit air. Kemudian lipat kulit karipap, untuk menutup intinya picit tepinya untuk mencantumkan kulit karipap dan ulangi sehingga habis doh dan intinya.

    Cara memasaknya pula, mula-mula panaskan minyak dalam kuali, goreng dalam minyak yang banyak (deep fry). Setelah itu balikkan sekali supaya masak sekata sehingga kuning keemasan. Kemudian angkat, tuskan minyak dan letak atas pinggan yang dilapik dengan paper towel atau tisu, selepas itu ia pun sedia untuk dimakan. Karipap enak dimakan bersama kopi atau teh panas. Selamat mencuba!

    BAHAN-BAHAN

    Bahan-bahan pastri
    – Tepung gandum
    – Marjerin
    – Garam
    – Gula
    – Minyak masak

    Bahan-bahan inti
    – Ubi kentang
    – Daging/Ayam
    – Serbuk kari
    – Bawang besar
    – Bawang Merah
    – Daun Kari
    – Minyak masak

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...