Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Sarung tangan ubah hidup penghidap Parkinson

    LAS VEGAS – Roberta Wilson-Garrett memandang sarung tangan yang mengawal tangan kanannya daripada terketar-ketar dan tersenyum.

    Buat masa sekarang dia terpaksa berdepan masalah terketar-ketar disebabkan penyakit Parkinson yang menjejaskan kawalan ototnya.

    Dia boleh melakukan perkara yang orang lain anggap remeh, seperti menulis dengan tepat menggunakan pen atau memegang secawan kopi tanpa tumpah.

    Kelegaan yang dikongsi oleh wanita Kanada itu di Pameran Elektronik Pengguna (CES) di Las Vegas, baru-baru ini, adalah hasil daripada GyroGlove.

    “Ia merupakan pengubah hidup bagi saya,” kata Wilson-Garrett, menggambarkan bagaimana GyroGlove menghentikan masalah terketar-ketar yang menjadikan tugas mudah seperti memakai baju satu cabaran.

    Roberta Wilson-Garrett menunjukkan perbezaan dalam lukisan lingkaran yang dibuat dengan dan tanpa GyroGlove. – AFP
    Roberta Wilson-Garrett yang menghidap penyakit Parkinson, bergambar dengan GyroGlove pada 8 Januari, di Las Vegas, Nevada. – AFP
    Pengasas Glidance, Amos Miller menunjukkan peranti Glide yang bertindak sebagai anjing pemandu versi teknologi untuk berjalan dengan selamat di CES pada 9 Januari. – AFP
    Dr Faii Ong menjelaskan mengenai GyroGlove. – AFP
    Peminat sukan cacat penglihatan meletakkan tangan mereka pada peranti OneCourt semasa CES pada 9 Januari. – AFP

    GyroGear telah membina penstabil tangan paling canggih di dunia, dengan rakan kongsi strategik termasuk kumpulan teknologi China, Foxconn, menurut pengasas Dr Faii Ong.

    Kunci kepada GyroGlove ialah giroskop yang dipasang kira-kira sebesar cakera getah hoki tetapi dengan cakera di dalamnya berputar lebih cepat daripada turbin enjin jet, menurut Ong.

    “Sarung tangan itu dibuat di kilang sama yang menghasilkan MacBook Pro awda,” kata Ong, merujuk kepada Foxconn sebagai pembekal untuk firma besar Silicon Valley, Apple.

    Ia dirancang untuk mengecilkan giroskop tersebut dengan lelaran sarung tangan masa hadapan.

    “Kami mahu mengalihkan tumpuan daripada penyakit itu dan kembali kepada kehidupan manusia yang kita bicarakan,” kata Ong.

    “Itulah yang harus dilakukan oleh teknologi; lebih penting untuk memfokuskan kembali diri kita sebagai manusia dan memahami bagaimana kita sebenarnya boleh menjadikan kehidupan orang lebih baik.”

    GyroGear yang berpangkalan di Massachusetts merupakan salah satu daripada pelbagai syarikat di CES yang ingin menggunakan teknologi untuk meningkatkan kehidupan bagi orang kelainan upaya.

    Firma pemula seperti Glidance dan syarikat besar seperti Amazon adalah antara syarikat yang dimasukkan dalam satu ruang pameran yang memaparkan teknologi yang bertujuan untuk meningkatkan kehidupan orang kelainan upaya.

    GLIDE

    Pengasas Glidance, Amos Miller yang kehilangan penglihatannya pada usia muda, menunjukkan peranti beroda dua kompak yang bertindak sebagai sejenis anjing pemandu untuk pejalan kaki yang tidak dapat melihat.

    Glide boleh diberi destinasi dan memimpin jalan bagi seseorang yang memegang pemegangnya, atau mudah ditolak sementara mengesan halangan dan mengemudi pengguna di sepanjang laluan selamat.

    “Awda hanya berjalan, dan roda akan mengemudi,” Miller memberitahu AFP sambil menunjukkan peranti itu.

    “Saya boleh memberitahunya ke mana saya ingin pergi jika saya mahu, dan ia akan menghalang saya daripada melanggar apa sahaja.”

    Firma yang berpangkalan di Seattle itu merancang untuk melancarkan program beta bagi Glide akhir tahun ini dan menjadikannya semudah membeli telefon pintar.

    ONECOURT

    Sebuah lagi firma pemula di Seattle bernama OneCourt telah mencipta apa yang kelihatan seperti replika padang bola sepak Amerika bersaiz barang mainan yang menukar kemas kini masa nyata daripada perlawanan sukan kepada getaran.

    Peminat sukan yang cacat penglihatan boleh meletakkan tangan di atas padang palsuitu untuk merasakan aksi permainan. Peranti berkenaan boleh digunakan dengan pelbagai jenis sukan termasuk tenis, hoki dan bola sepak Amerika.

    “Kami teruja untuk menjadikan sukan siaran langsung lebih mudah diakses oleh orang cacat penglihatan,” kata Ketua Eksekutif OneCourt, Jerred Mace.

    “Ia pada asasnya cuba mendekatkan orang ramai dengan aksi itu.”

    Getaran pada peranti memberikan rasa faktor seperti berapa pantas bola atau cakera getah bergerak, tempat pemain berada di atas padang dan cara mereka bergerak.

    Mace berharap peranti yang belum dikeluarkan itu akan disediakan melalui perkongsian dengan pasukan atau liga, percuma untuk digunakan oleh peminat cacat penglihatan semasa permainan.

    Inovasi-inovasi lain yang dipamerkan di CES termasuk cermin mata teknologi untuk orang cacat penglihatan daripada Lumen yang membolehkan pemakai tahu tempat selamat untuk berjalan, malah mengelakkan lopak.

    Terdapat cermin mata dengan bingkai yang berfungsi sebagai alat bantu pendengaran serta cermin mata untuk mengimbangi kecacatan penglihatan atau disleksia.

    Tawaran daripada Orcam termasuk pengimbas pegang tangan yang membaca dan menterjemah teks untuk pelajar kurang upaya pembelajaran atau pendatang muda yang baru belajar bahasa Inggeris.

    “Kebolehcapaian ialah penggunaan teknologi yang terbaik,” kata penganalisis Techsponential, Avi Greengart. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...