Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Keadaan perniagaan Dis 2023 tidak berubah

    Oleh Sim Y.H.-

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Indeks utama Indeks Sentimen Perniagaan (BSI), iaitu Sub-Indeks Keadaan Perniagaan adalah 50 bagi Disember 2023, di mana ia menunjukkan perniagaan di sektor swasta secara amnya menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih kurang sama berbanding dengan bulan sebelumnya, walaupun terdapat perbezaan sentimen mengikut sektor.

    Kebanyakan perniagaan mengongsi jangkaan kelembapan aktiviti perniagaan disebabkan peningkatan aktiviti melancong ke luar negara dan pengambilan cuti oleh pekerja pada Disember.

    Namun, beberapa perniagaan berpandangan positif dengan adanya promosi jualan hujung tahun, Salebration termasuk jualan kembali ke sekolah di mana indeks bagi satu bulan ke hadapan berada di tahap 50.5, menunjukkan tahap aktiviti perniagaan dijangka lebih baik bagi Januari 2024 berbanding Disember 2023.

    Walaupun sebahagian besar pandangan optimistik itu berkaitan dengan trend tahunan aktiviti perniagaan yang meningkat, faktor-faktor lain termasuk pemulihan permintaan domestik, permulaan penggal persekolahan, Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja serta perayaan Tahun Baharu Cina dijangka akan meningkatkan prestasi perniagaan pada Januari 2024.

    Dapatan itu adalah dari BSI bagi Negara Brunei Darussalam untuk Disember 2023 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), hari ini.

    Gambar Freepik

    BSI adalah berdasarkan kaji selidik ke atas kira-kira 500 perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi dari semua daerah di Negara Brunei Darussalam.

    Sub-Indeks Pelaburan adalah 50.1 bagi Disember 2023, 50 untuk satu bulan ke hadapan dan 50.1 bagi tiga bulan ke hadapan di mana ia menunjukkan para peniaga secara amnya menjangka sedikit peningkatan dalam perbelanjaan pelaburan pada Disember 2023 dan akan mengekalkannya bagi Januari 2024.

    Perbelanjaan pelaburan itu termasuk pengubahsuaian pejabat dan kedai, pembelian bahan, peralatan dan mesin baharu untuk menjalankan projek.

    Memandang ke hadapan, perniagaan menjangka peningkatan perbelanjaan pelaburan bagi pengembangan premis perniagaan dan inventori tambahan untuk persediaan bulan Ramadan serta sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Sementara itu, Sub-Indeks Pengambilan Pekerja adalah 50.4 bagi Disember 2023 dan 50.6 bagi satu bulan ke hadapan di mana secara amnya, terdapat perancangan untuk menambah jumlah pekerja pada Disember 2023 dan Januari 2024 dengan para peniaga terus mengambil tenaga kerja bagi persiapan untuk acara-acara hujung tahun
    dan projek atau kontrak baharu serta bagi mengganti pekerja-pekerja yang telah berhenti.

    Sub-Indeks Kos Perniagaan adalah 49.7 bagi Disember 2023 dan 50.1 bagi satu bulan ke hadapan. Walaupun para peniaga, secara amnya menjangka peningkatan kos menjalankan perniagaan pada Disember 2023, sub-indeks berkenaan secara keseluruhan telah menurun didorong oleh sektor minyak dan gas dan yang berkaitan yang mengalami penurunan harga bahan-bahan mentah.

    Bagi Januari 2024, para peniaga menjangka sedikit peningkatan dalam kos operasi peniagaan di mana ia berkaitan dengan pelbagai faktor seperti kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan, pembelian bahan-bahan mentah, kos berkaitan dengan pemasaran serta juga persiapan bagi acara-acara tertentu.

    Sebahagian perniagaan juga mengongsi jangkaan peningkatan kos kakitangan dengan adanya pengambilan pekerja baharu, kenaikan gaji tahunan bagi sebahagian pekerja serta pembayaran bonus tahunan.

    Dari segi sektor ekonomi, tiga daripada 11 sektor mencatatkan sentimen optimistik pada Disember 2023 dengan sektor pengangkutan dan komunikasi mencatatkan sentimen optimistik yang tertinggi dengan indeks 50.8 disebabkan kenaikan permintaan bagi produk dan perkhidmatan berikutan trend aktiviti percutian hujung tahun dan kemuncak musim pelancongan.

    Sektor hotel dan restoran juga berpandangan optimistik dengan peningkatan prestasi perniagaan daripada pelancongan dalam negara semasa musim cuti sekolah dan peningkatan penyewaan dewan serba guna bagi acara-acara hujung tahun.
    Sektor kewangan dan insurans juga optimistik dengan jangkaan peningkatan aktiviti perniagaan.

    Sebaliknya, lima sektor menunjukkan sentimen pesimistik bagi Disember 2023 di mana sektor kesihatan dan pendidikan serta sektor pembinaan melaporkan indeks yang terendah pada tahap 49.6 disebabkan oleh permintaan pengguna yang lebih lembap dan jumlah projek yang berkurangan.

    Sektor harta tanah dan pemilikan kediaman pula melaporkan kelembapan aktiviti perniagaan berbanding bulan sebelumnya dan turut mengongsikan beberapa penyewa dijangka akan menamatkan kontrak sewa.

    Manakala sektor pertanian, perhutanan, perikanan dan penternakan menjelaskan penurunan sentimen disebabkan oleh permintaan pengguna yang lebih lembap serta keadaan cuaca yang merosot yang juga telah menjejaskan hasil pengeluaran.

    Sementara itu, sektor perdagangan borong dan runcit, sektor minyak dan gas dan yang berkaitan serta sektor pembuatan melaporkan keadaan perniagaan yang hampir sama seperti November 2023.

    Dari segi indeks mengikut saiz perniagaan, hanya perniagaan bersaiz besar menjangka keadaan yang lebih baik pada Disember 2023 berbanding bulan sebelumnya, didorong oleh faktor bermusim, peningkatan permintaan perkhidmatan bagi sebahagian sektor, promosi hujung tahun serta jualan berkaitan dengan permulaan musim persekolahan.

    Sementara perniagaan bersaiz mikro, kecil dan sederhana menjangkakan keadaan perniagaan yang merosot akibat kelembapan aktiviti perniagaan semasa musim percutian hujung tahun.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...