BUENOS AIRES, 17 JAN – Kebakaran hutan yang dicetuskan oleh gelombang haba telah membakar kawasan di wilayah Patagonia, Argentina kelmarin, memaksa pemindahan penduduk dari ratusan rumah.
Angin kencang dan suhu tinggi memburukkan lagi kebakaran yang melanda padang rumput dan hutan berhampiran kampung terpencil Epuyen, mengubah kawasan hutan asli menjadi runtuhan yang berasap.
“Kebakaran merebak dengan cepat semalam disebabkan oleh keadaan cuaca,” kata gabenor wilayah Ignacio Torres.
Kawasan kira-kira saiz 1,600 buah padang bola sepak terbakar dalam hanya lima jam pada Rabu, katanya.
Sekitar 50 rumah dan sebahagian daripada sebuah sekolah telah dijilat api dan 200 keluarga telah dipindahkan, tambah Torres.
Tiga pesawat pemadam kebakaran dan ratusan anggota bomba serta sukarelawan telah dihantar ke kawasan tersebut untuk membendung kebakaran, yang kini telah beralih jauh dari kawasan kediaman.
Perkhidmatan cuaca kebangsaan Argentina telah mengisytiharkan 17 daripada 23 wilayah negara itu mengalami suhu ekstrem.
Kebakaran merupakan perkara biasa pada musim panas di selatan Patagonia, tetapi hujan yang kurang dan suhu tinggi telah meningkatkan risiko kebakaran pada tahun ini.
Pada bulan Disember, 4,200 hektar Taman Negara Nahuel Huapi telah musnah dijilat api. – AFP