KIEV, 1 OKT – Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dalam kebakaran hutan di rantau Lugansk di timur Ukraine berhampiran barisan depan konflik Kiev dengan pemisah sokongan Moscow, kata pihak berkuasa hari ini.
Kira-kira 120 orang dipindahkan dari kampung di rantau itu apabila 1,200 anggota bomba dihantar untuk memadamkan kebakaran yang bermula semalam, kata kementerian dalam negeri tatkala Kiev cuba menentukan punca kebakaran.
Pegawai serantau berkata dua kapal terbang pengebom air dan sebuah helikopter digunakan untuk memadamkan api yang membakar di kawasan seluas 9,300 hektar.
Perkhidmatan kecemasan berkata sepuluh orang telah dimasukkan ke hospital dan 22 kampung menghadapi risiko akibat kebakaran, yang menjadi semakin besar disebabkan angin kencang.
Presiden Ukraine berkata dalam satu kenyataan bahawa adalah penting untuk mencari punca kebakaran dan bagaimana ia telah merebak dengan cepat.
Pentadbiran serantau berkata ia telah menutup buat sementara waktu lintasan memasuki wilayah yang dikawal oleh pemisah apabila kebakaran menghampiri tempat pemeriksaan di sana.
Kebakaran merebak beberapa kilometer dari satu kawasan di mana pertempuran di antara tentera Kiev dan pemisah yang disokong Rusia meletus.
Ukraine telah dibelenggu gelombang haba teruk pada tahun ini, yang telah mewujudkan keadaan berbahaya untuk kebakaran yang lebih sukar dikawal. – AFP