SETIAP kali Ramadan, perkara yang paling dinanti-nantikan adalah bazar menjual juadah berbuka puasa. Destinasi ini menjadi tumpuan kerana menawarkan kepelbagaian selera daripada minuman, lauk-pauk tradisional, hidangan ala Barat, kuih-muih mahupun makanan yang diubah suai mengikut citarasa tempatan sehingga tular di media sosial kerana keunikannya.
Semua hidangan berkenaan dijual secara lambak dan dipamerkan (yang biasanya dibiarkan terdedah) bagi memikat pelanggan. Ia mula dijual seawal jam 3 petang sekali gus mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan dan kebersihannya. Tambahan lagi, antara masalah kesihatan yang sering berlaku ketika Ramadan adalah keracunan makanan.
Keracunan makanan adalah penyakit yang berlaku akibat memakan makanan yang tercemar dengan tanda-tanda seperti sakit perut, cirit-birit, demam, loya dan muntah. Kelewatan mendapatkan rawatan boleh mengundang komplikasi mengakibatkan kecacatan seperti lumpuh atau sakit sendi yang berpanjangan dan maut.
Enam jenis bakteria yang dikenal pasti menjadi penyebab utama keracunan makanan adalah Staphylococus aureus, Salmonella, Escherichia coli enteropathogenic (E. coli), Bacillus cereus, Vibrio parahaemolyticus dan Camphylobacter.
Bagaimanapun, kecuaian manusia yang mengabaikan aspek penjagaan kebersihan sehingga makanan tercemar adalah punca bakteria terbabit membiak. Bakteria ini boleh muncul dalam makanan melalui tiga cara iaitu penyediaan makanan yang kotor dan tidak teliti, makanan yang tidak dihadam dengan sempurna dan makanan yang terdedah pada suhu persekitaran.




Makanan boleh rosak disebabkan penggunaan bahan mentah yang tercemar dengan kuman, penyediaan makanan tidak bersih, peralatan kotor, tabiat menghidangkan dan tidak mengikut kaedah penyimpan makanan yang selamat.
Bagaimanapun, faktor yang menyumbang kepada pencemaran makanan bermula daripada pengendali makanan itu sendiri yang tidak mengamalkan kebersihan termasuk kebersihan diri seperti berkuku panjang, tidak cuci tangan, tidak memakai apron, tidak menutup kepala, tidak peka kebersihan peralatan untuk mengambil makanan dan juga kebersihan makanan itu sendiri.
Oleh itu, pengendali atau penyedia makanan dan peniaga makanan berperanan dalam proses mengawal keselamatan dan penyaringan produk makanan dengan memastikan ia tidak dicemari bakteria terbabit sebelum dijual kepada orang ramai, sama ada makanan proses, dalam tin, pek atau bungkusan. Bahkan orang ramai juga sentiasa diingatkan untuk memilih premis makanan yang benar-benar menyediakan juadah bersih.
Kaedah kenali makanan
Ada tiga langkah mudah untuk kita mengenali makanan rosak atau basi bagi memastikan makanan yang dibeli selamat dimakan. Menerusi kaedah lihat, hidu dan rasa, prosedur ini amat mudah untuk dilakukan dan hanya menggunakan deria untuk membuat penilaian sebelum mengambil makanan.
Sebelum membeli, pastikan makanan dilihat tidak berlendir, berbuih, berkulat, berubah warna atau tamat tarikh luputnya. Kemudian, cuba hidu makanan itu untuk memastikan tiada bau yang tidak menyenangkan atau berbeza daripada biasa.
Jika makanan sudah dibeli, rasa makanan itu sama ada ia sudah basi atau busuk. Jika makanan didapati mempunyai ciri-ciri terbabit, bermakna ia sudah rosak atau basi dan tidak boleh dimakan.
Kementerian Kesihatan (KKM) turut menggariskan lima panduan makanan selamat untuk diamalkan bagi mengekalkan tahap keselamatan makanan serta mengelak kejadian keracunan makanan iaitu:
1- Jaga kebersihan merangkumi kebersihan pengendali atau penyedia makanan dengan kerap mencuci tangan sebelum dan selepas kerja memasak. Cuci peralatan memasak dan pastikan kebersihan persekitaran memasak untuk mengelakkan kedatangan makhluk perosak.
2- Asingkan makanan mentah daripada makanan yang dimasak bagi mengelakkan pencemaran bersilang. Ini kerana, air lelehan makanan mentah seperti daging, ayam dan ikan mengandungi kuman yang boleh mencemari makanan lain sewaktu penyediaan dan penyimpanan makanan.
3- Makanan mesti dimasak dengan cara yang betul apabila ia perlu dimasak dengan sempurna sepenuhnya terutama daging, ayam, telur dan makanan laut, manakala makanan berkuah dimasak sehingga mendidih.
4- Makanan juga perlu disimpan pada suhu yang selamat sama ada bahan mentah atau yang sudah dimasak. Ayam mentah sepatutnya disimpan secara sejuk beku berikutan ayam yang terdedah kepada suhu bilik akan rosak perlahan-lahan.
5- Ketika memasak, gunakan air dan pilih bahan mentah yang segar dan selamat dimakan. Basuh sayur-sayuran yang dimakan mentah terlebih dahulu dan elakkan makanan yang melewati tarikh luputnya.
Tanda-tanda keracunan
-Pesakit hendaklah segera mendapatkan rawatan di hospital mahupun di klinik berdekatan. Ini untuk mengelakkan bakteria daripada terus membiak di dalam usus dan menyebabkan ia semakin sukar dikawal. Selain itu, rawatan awal dapat mengelakkan dehidrasi atau kekeringan berlaku.
-Pesakit yang mengalami keracunan makanan sebenarnya boleh terus berpuasa seperti biasa. Ubat boleh diambil ketika sahur dan berbuka. Tetapi, jika cirit-birit berlaku dengan kerap sehingga menyebabkan kelesuan dan dehidrasi, pesakit hendaklah mengutamakan keselamatan kesihatan.
-Minum banyak air terutama minuman isotonik ketika berbuka dapat mengelakkan dehidrasi berlaku. Pengambilan air kira-kira 2.5 liter sehari adalah keperluan harian biasa bagi dewasa. Pastikan pesakit minum air dengan jumlah itu untuk menggantikan cecair badan yang hilang disebabkan oleh cirit-birit. – Agensi