Kebersihan melambangkan keperibadian. Baru-baru ini, saya berurusan di salah sebuah jabatan kerajaan di Daerah Brunei dan Muara.
Saya dapati tandasnya begitu kotor dan tidak diselenggara dengan baik. Ia benar-benar menjijikkan. Pada pendapat saya, setiap individu memainkan peranan yang sama penting untuk memastikan kebersihan di sebuah tempat.
Memanglah benar, pihak kerajaan telah menggaji kontraktor pembersih bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan secara berkala. Namun, cuba awda bayangkan, di tempat yang pada pengamatan saya, dikunjungi oleh ratusan orang setiap hari, pasti beban untuk memastikan tandas tersebut sentiasa bersih tidak dapat ditanggung sepenuhnya oleh pekerja tersebut.
Oleh itu, sama-samalah kita memastikan tandas atau kemudahan awam yang kita gunakan dibalikkan semula kepada keadaan asalnya. Selepas menggunakan tandas, pamlah tandas itu, pastikan awda membuang tisu di dalam tong sampah yang disediakan, simpan semula hos air di tempat asalnya dan jangan dibiarkan ia terletak di atas lantai begitu sahaja. Jika terdapat kebocoran atau kerosakan, segeralah maklumkan kepada pihak yang berkenaan.
Begitu juga halnya jika kita berada di restoran. Amalkan sikap pembersih di mana-mana.
Jika sudah selesai makan, himpunkan sudu garpu dan pinggan mangkuk di satu tempat di atas meja tersebut. Ini pasti memudahkan tugas pelayan restoran untuk membersihkan meja berkenaan sebelum digunakan oleh pelanggan seterusnya. Ada sesetengah tempat, terutamanya di restoran makanan segera yang menganjurkan para pelanggan untuk membuang semua sampah atau lebihan makanan mereka di sudut yang ditetapkan.
Akhir sekali, contohilah budaya pembersih yang dipraktikkan oleh rakyat Jepun. Selepas menyaksikan perlawanan di stadium, misalnya, atau selepas melakukan aktiviti di pantai, bersihkanlah kawasan sekitarnya. Jika setiap daripada kita mempraktikkan amalan ini, saya yakin Brunei pasti akan menjadi lebih bersih pada masa akan datang.
Mario San
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/09/P6-2A-web-Freepik_06092023.jpg)