Thursday, April 18, 2024
28.5 C
Brunei

    -

    Kehangatan cuaca M’sia tambat hati novelis Jepun

    KUALA LUMPUR – Pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia pada bulan November 2022, novelis tersohor Jepun, Toshikazu Kawaguchi begitu teruja dengan cuaca hangat negara ini berbanding kedinginan musim salji di negara kelahirannya itu.

    “Saya terpandang pokok Krismas yang banyak dijadikan hiasan dan berasa sedikit ganjil kerana di Jepun, Krismas sering dikaitkan dengan masa paling sejuk di Jepun tetapi di Malaysia, ianya begitu selesa. Saya lebih suka berada di negara ini,” beliau yang juga seorang pengarang drama dan pengarah teater memberitahu Bernama ketika ditemu bual baru-baru ini.

    Kawaguchi, 52, berada di Malaysia dari 24 hingga 28 November 2022 untuk menghadiri Festival Sastera Georgetown yang dianjurkan pada November 2022 di Pulau Pinang. Beliau juga memberikan ceramah awam anjuran Yayasan Jepun di kedai buku Kinokuniya, Kuala Lumpur.

    Siri novel terlaris beliau Before the Coffee Gets Cold yang mengandungi empat siri buku diterjemahkan ke dalam 35 bahasa dan setakat ini sudah lebih 3.2 juta naskhah dijual.

    Emosi dan kembara Before the Coffee Gets Cold

    Sebelum datang ke Malaysia, Kawaguchi yang berasal dari Osaka, menghabiskan masa di Dubai, Itali dan Taiwan untuk berkongsi pandangannya mengenai siri Before the Coffee Gets Cold yang banyak menyentuh tentang emosi yang mendalam serta imaginasi orang yang tersayang yang sudah tiada serta peluang untuk seorang ibu yang sedang nazak untuk bertemu dengan anak yang belum dilahirkan pada masa depan.

    Toshikazu Kawaguchi semasa berada di kedai buku Kinokuniya di Kuala Lumpur baru-baru ini. – Bernama

    Berlatar belakangkan sebuah kafe yang terletak di sebuah lorong di Tokyo, terdapat beberapa peraturan ketat untuk pengembara masa iaitu kembara ke zaman silam, awda akan hanya dapat bertemu dengan mereka yang pernah berkunjung ke kafe berkenaan. Awda juga perlu menghabiskan kopi awda sebelum minuman menjadi sejuk, jika tidak awda akan terperangkap di dalam kafe itu sebagai hantu.

    Menurut Kawaguchi, tema novelnya adalah harapan, yakni meskipun awda tidak dapat mengubah masa kini jika awda kembara ke masa silam atau masa depan, awda masih boleh mengubah hati seseorang dan mengatasi sebarang halangan.

    Siri Before the Coffee Gets Cold yang turut diolah sebagai pementasan, novel dan filem, dicalonkan untuk Bookstore Awards 2017, dan turut mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti filem animasi psikologi Jepun yang bertemakan kembara masa dan fantasi, seperti When Marnie Was There dan Kimi no Na wa (nama awda).

    Menurut Kawaguchi, setakat ini terdapat empat buku di bawah siri Before the Coffee Gets Cold dan tiga daripadanya diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris. Buku beliau yang kelima, dijadual diterbitkan pada bulan Mac 2023.

    Kawaguchi yang juga berhasrat menjadikan budaya teater lebih meluas baru-baru ini menyiapkan sebuah persembahan di Okinawa, Jepun. Novel Before the Coffee Gets Cold dijangka dijadikan filem atau diedarkan dalam talian di Hollywood, Amerika Syarikat.

    “Saya dikenali di Malaysia sebagai seorang novelis dan belum pernah menyampaikan kerja saya sebagai pengarang drama atau pengarah teater. Jika diberi peluang, saya ingin sangat rakyat Malaysia dapat menyaksikan hasil kerja saya sebagai seorang pengarah,” katanya.

    Perjalanan sebagai seorang penulis

    Kawaguchi memang sudah dikenali dalam kalangan golongan peminat mudanya di Malaysia.

    Sewaktu memberikan ceramah di kedai buku Kinokuniya di Kuala Lumpur, beliau berkongsi pengembaraannya sebagai penulis. Dimaklumkan sekitar 95 orang anak muda hadir di samping mereka yang berusia dalam lingkungan 20an dan 30an.

    Banyak soalan yang dilontarkan kepada Kawaguchi berdasarkan pengalamannya sebagai penulis dan bagaimana mahu menjadi novelis berjaya.

    Menurut Kawaguchi, sebelum menjadi penulis dan pengarang drama, beliau bercita-cita mahu menjadi artis manga.

    “Di sekolah rendah ada kawan satu kelas yang mempengaruhi saya untuk cuba bidang artis manga. Ada seorang penerbit yang menunjukkan minat terhadap manga yang saya tulis semasa di sekolah tinggi tetapi tak berhasil kemudiannya,” kata Kawaguchi.

    Apabila tidak berjaya menjadi artis manga, beliau berjinak-jinak dengan dunia teater ketika berusia 22 tahun sehingga hari ini.

    Pada tahun 2011, beliau mencuba pula bakat sebagai novelis selepas diyakinkan oleh editornya yang pernah menyaksikan pementasan Before the Coffee Gets Cold.

    “Begitu kisah bagaimana Before the Coffee Gets Cold menjadi satu pementasan kemudian novel dan dirancang dijadikan filem,” katanya.

    Beliau menekankan sebagai penulis, beliau sentiasa berusaha untuk menulis tentang kehidupan harian serta jalinan hubungan orang biasa.

    Sebagai contoh, buku pertamanya mengisahkan seorang lelaki yang merantau ke Amerika Syarikat untuk bekerja dan kekasihnya berharap dapat berjumpa dengan beliau di sebuah kafe sebelum beliau berangkat ke luar negara.

    Kekasihnya mahu membina kembali hubungan cinta mereka yang terputus. Dalam sebuah kisah lain, seorang wanita mahu kembali ke zaman silam untuk menemui saudara perempuannya yang sudah meninggal dunia. Hubungan mereka menjadi renggang akibat pertelingkahan keluarga.

    Inspirasi

    Meskipun sudah melakar kejayaan sebagai novelis, Kawaguchi juga mencari inspirasi daripada hasil karya penulis tersohor.

    Tiga penulis teratas yang diminati beliau adalah novelis detektif legenda, Tokuya Higashigawa dengan buku terkenalnya koukan satsujin ni wa mukanai yoru (a bad night to exchange murder) dan buku Hattori Hanzo, seorang ninja yang tiada tolok bandingnya oleh Shinjuro Tobe. Buku lain yang diminati beliau adalah novel fantasi Harry Porter, karya novelis British, J. K. Rowling.

    “Saya mengagumi kemahiran sastera Higashigawa yang menyelitkan unsur jenaka untuk membongkar misteri,” katanya.

    Kawaguchi juga bercita-cita mahu menulis seperti Tobe, yang mempunyai gaya penulisan yang mudah dibaca oleh sesiapa sahaja.

    Banyak cabaran

    Meskipun Kawaguchi novelis yang dikenali sekarang, beliau masih tidak lupa kisah silamnya ketika beliau masih baru menceburi bidang penulisan dengan pelbagai kesukaran sehingga sukar untuk membeli makanan. Ibunya pula sentiasa risau melihatkan keadaan anaknya itu.

    “Sebelum saya menjadi novelis berjaya, banyak kesukaran yang saya lalui dan ada ketika saya meninggalkan bidang penulisan dan cuba menjadi artis manga dan membuat filem,” tambahnya.

    Bagaimanapun, Kawaguchi tidak berputus asa dan berbincang semula dengan editornya untuk kembali menulis novel.

    Sedikit nasihat daripada Kawaguchi untuk sesiapa yang berminat untuk menjadi novelis iaitu teruskan menulis sehingga selesai dan jangan mengaku kalah separuh jalan, meskipun ketika menghadapi pelbagai kesukaran.

    “Sekiranya awda berhenti separuh jalan, awda akan berkali-kali berfikir maka tak siaplah kerja awda,” katanya.

    Beliau menekankan bahawa cabaran sebagai novelis adalah kemampuan untuk menzahirkan emosi yang kompleks dalam bentuk perkataan berbanding pementasan teater yang bergantung kepada kemahiran lakonan aktor.

    “Teater lebih kepada visual tetapi novel merangsang imaginasi kerana penulis perlu menggambarkan segala-galanya,” jelasnya.

    Kawaguchi berkongsi bahawa impian masa depannya adalah untuk mewujudkan teater yang terdiri dari kedai buku, kedai kopi dan pentas persembahan yang boleh mencetuskan imaginasi orang dalam lingkungan budaya teater.

    Beliau juga sedang berkira-kira untuk menulis tentang pembukaan Café Funiculi Funicula, kafe yang disebut dalam siri Before the Coffee Gets Cold sebagai portal kembara masa.

    Kawaguchi juga ingin kalau boleh kembali ke zaman silam untuk berjumpa dengan mendiang ayahnya dan bercerita tentang kehidupannya sebagai novelis, perihal bukunya dibaca oleh ramai orang di merata dunia dan akan dijadikan filem Hollywood. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...