Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Walaupun bulan Syawal sudah hampir ke penghujungnya, kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri masih hangat dirasakan dengan tradisi kunjung-mengunjungi ditambah dengan adanya rumah dan pejabat terbuka yang dianjurkan oleh pelbagai pihak dalam sama-sama merayakan hari kemenangan umat Islam.
Dalam kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri, ahli jemaah dua buah masjid iaitu Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar dan ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Kilanas, kelmarin telah mengadakan kunjungan berhari raya di kediaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yusof di Kampung Jangsak, baru-baru ini.
Kunjungan itu adalah sebagai mengeratkan silaturahim dan majlis diisi dengan bacaan Surah Al-Waqiah daripada imam Masjid Kampung Kilanas, diikuti dengan selawat daripada MRSB.
Sementara itu, majlis sambutan Hari Raya juga diadakan oleh Keluarga Pengiran Haji Damit dan Pengiran Maimunah (Keluarga DaMai), baru-baru ini di Dewan Mutiara Function, Tungku Link.
Majlis diisikan dengan bacaan Asmaul Husna, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan terjemahan, tahlil dan Doa Arwah serta Doa Selamat.
Wakil Keluarga DaMai, Pengiran Haji Amiruddin dalam ucapan antara lain merakamkan kesyukuran atas rezeki sambutan perhimpunan seumpama itu.
Manakala Pengiran Amiruddin juga kagum dengan kesungguhan semangat kekeluargaan, kekitaan dan keakraban dalam kalangan Keluarga DaMai yang telah menyemai sikap bergotong-royong, bekerjasama, saling hormat-menghormati, bertolak ansur dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti keluarga.
Majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian sijil-sijil penghargaan kelulusan tertinggi akademik kepada 41 orang cucu Keluarga DaMai yang disampaikan oleh Pengiran Tejudin dan diikuti dengan penyampaian sijil-sijil Insentif Tadarus dan Inisiatif Khidmat Tuisyen serta Anugerah Usahawan 2025 yang telah disampaikan oleh Haji Hamidun, Pengiran Hajah Rohaya dan Pengiran Haji Alit.
Manakala Keluarga Allahyarham Haji Maon bin Mirhassan @ Amir Hassan dan Allahyarham Dayang Hajah Tijah binti Sailan turut mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Silaturahim yang diadakan di Dewan Cheenta2, Bangunan The Walk, Beribi, baru-baru ini.
Dalam sambutan tersebut, keluarga tersebut telah berjaya mengumpulkan lebih 150 orang dan antara yang hadir Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Haji Mohd Yusra bin Haji Mohd Salleh.
Majlis sambutan tersebut yang julung kali diadakan itu antara lain bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim, mengambil tabaruk pada bulan Syawal dengan mengkhatamkan bacaan Al-Quran disedekahkan khusus kepada ahli keluarga kitani yang telah kembali ke rahmatullah dan kepada semua kaum umat Muslimin dan Muslimat amnya.