Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
Susulan dengan penularan virus COVID-19, Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan dan pihak-pihak yang terlibat menasihatkan orang ramai agar terus meningkatkan penjagaan kebersihan dan mengurangkan aktiviti yang menjurus kepada perhimpunan secara beramai-ramai.
Ketua Jurulatih Dudgym Fitness, Awang Muhammad Saadi @ Wadud bin Haji Abu Bakar berkata, apabila berbicara mengenai kesihatan, terdapat banyak jenis dan bidang kesukanan yang boleh disertai atau dilakukan untuk meningkatkan sistem kekebalan tubuh yang sedikit sebanyak dapat mengekalkan kesihatan tubuh yang optimum.
Beliau juga menyentuh mengenai langkah-langkah bersesuaian yang dilaksanakannya sebagai pengendali gim berikutan dengan penularan COVID-19 yang sedang melanda negara ini dan juga seluruh dunia.
Dalam temu buah bersama wartawan Media Permata, apabila gim dibuka nanti, beliau akan menetapkan beberapa peraturan baharu untuk para pengguna seperti menyediakan cecair pembasmi kuman, memastikan tahap kesihatan pengguna dalam keadaan baik, tidak demam atau selesema, sentiasa menjaga kebersihan peralatan selepas digunakan, menggunakan cecair pembasmi kuman dan banyak lagi.
Beliau juga turut mengongsikan tentang perkembangan, di mana jelasnya, walaupun semua gim diarahkan ditutup sementara bagi mengekang penularan COVID-19, tetapi beliau turut menyediakan tunjuk cara senaman melalui dalam talian yang boleh disertai oleh orang ramai.
Pada awalnya, perkara itu agak sukar kerana pada kebiasaannya mereka bersenam secara berkumpulan, bagaimanapun katanya, senaman melalui tunjuk cara dalam talian juga ada kebaikannya, di mana orang ramai dapat melakukannya bersama jurulatih peribadi mereka dengan lebih mudah.
Dengan tunjuk cara dalam talian melalui perkongsian dalam media sosial, ia adalah amalan tatacara yang terbaik demi keselamatan bersama, akan tetapi efektif atau tidak ini bergantung kepada individu yang melakukan senaman berkenaan.
Ditanya mengenai perkembangan perniagaan dalam bidang ini, jelasnya, beliau juga turut tidak terkecuali berdepan dengan pelbagai masalah terutama dari segi perniagaan yang semakin merosot berikutan dengan penularan COVID-19 di negara ini. Bagaimanapun, beliau terus komited dengan melakukan langkah-langkah pencegahan dan sentiasa menghubungi pelanggan untuk mengikuti senaman secara dalam talian.
Sementara itu, Media Permata juga sempat menemu bual seorang lagi atlet, Awang Muhammad Faiz Hafizuddin berkenaan dengan aktiviti kecergasan semasa berdepan dengan penularan COVID-19 ketika ini, di mana menurutnya pelbagai senaman seperti larian, berbasikal, berjalan dan sebagainya boleh dilakukan di tempat-tempat bersesuaian seperti di kawasan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dengan sentiasa mengamalkan aspek kebersihan.
Bercakap mengenai gim pula, katanya “gim kecergasan pada masa ini dilihat semakin berkembang, di mana ia dapat dilihat di mana-mana sahaja, malah di kawasan kompleks komersial, kawasan-kawasan perumahan dan kampung-kampung pedalaman juga semakin banyak.”
Jelasnya, ini merupakan satu perkembangan yang positif bagi semua golongan, terutamanya kepada golongan belia dalam mempelbagaikan kaedah penjagaan kesihatan, selain dapat meluangkan masa dengan sesuatu aktiviti yang sihat dan positif.
Dari segi pemasaran atau peniaga pula, katanya, pengelola gim-gim di negara ini saling berusaha memberikan pakej-pakej istimewa seperti menyediakan prasarana yang sesuai dan selesa, peralatan yang mencukupi dan ditambah lagi dengan penyediaan perkhidmatan jurulatih profesional yang akan memberi konsultasi yang betul dan selamat ketika melakukan senaman kecergasan.
Bagaimanapun, kesemua gim di negara ini diarahkan untuk ditutup sementara dalam usaha pihak kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19 daripada perhimpunan ramai sehingga tarikh pembukaan semula yang akan diumumkan nanti.
Manakala itu, berbeza pula pandangan Haji Ahmad bin Haji Damit ketika ditemu bual Media Permata menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi dan menerima segala pandangan dan nasihat pihak berkuasa di negara iaitu bagi mengurangkan atau malah meniadakan buat sementara waktu sebarang perkumpulan ramai termasuk aktiviti kesukanan dan seumpamanya bagi sama-sama menjaga kesihatan berikutan dengan pandemik COVID-19.
“Demi untuk menjaga kesihatan dan keselamatan diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat, kita perlu mematuhi penutupan sementara premis-premis sukan berkenaan kerana ianya juga adalah satu langkah yang baik untuk kita semua.”