Oleh Daniel Lim
BELAIT, 10 APRIL – Bagi menyemarakkan lagi suasana di bulan Ramadan yang kini berada di penghujungnya, rombongan yang terdiri daripada lapan ahli dari Kelab Lions Belait yang diketuai oleh presiden kelab, Keith Wong telah mengadakan kunjungan ke kawasan luar bandar Belait untuk menyerahkan sumbangan sebagai sebahagian daripada Sumbangan Amal Hari Raya kelab tersebut.
Acara yang berlangsung kelmarin itu telah diadakan di Dewan Serba Guna Kampung Merangking dengan dihadiri oleh lebih 30 wakil keluarga yang memerlukan yang tinggal di kawasan tersebut.
Sehubungan itu, dalam penyampaian barangan keperluan tersebut, pihak kelab juga berharap agar ia dapat meringankan beban keluarga-keluarga yang memerlukan di sepanjang bulan Ramadan serta sebagai persediaan bagi keluarga berkenaan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.