Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Kelab penyokong KDA FC mohon penjelasan

    ALOR SETAR, 4 FEB – Sebanyak 30 kelab penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memohon penjelasan daripada pemilik serta pihak pengurusan kelab berkenaan berhubung isu tunggakan gaji dan status pengganti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

    Mohammad Adhan Mat Aji yang mewakili kelab penyokong bola sepak Kedah berkata semua pihak sedia maklum berhubung isu tunggakan gaji pasukan KDA FC seperti yang tular di laman media sosial sebelum ini.

    “Penyokong KDA FC ingin mengetahui status tunggakan gaji dan status KDA FC dalam saingan Liga Malaysia 2024 memandangkan sehingga kini tiada sebarang penjelasan yang dibuat oleh pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar atau pihak pengurusan.

    “Selain isu gaji, penyokong turut dikejutkan dengan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali. Kami (penyokong) ingin memohon penjelasan tentang isu yang sangat mengejutkan ini. Apakah yang sedang berlaku dan siapa yang akan menggantikan jawatan CEO itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Beliau berkata penjelasan segera perlu diberikan memandangkan pemilik serta pihak pengurusan kelab seolah-olah seperti tidak membuat sebarang persediaan untuk menghadapi Liga Malaysia (Liga M).

    ”Sebagai penyokong, kami hanya mahukan penjelasan sama ada kelab ini masih kekal untuk bermain dalam saingan liga atau sebaliknya. Apa juga keputusan, kami terima dengan hati terbuka.

    “Kami juga memohon untuk diadakan pertemuan dengan pemilik dan pengurusan kelab untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi semua isu yang sedang berlaku, persiapan dan perancangan pasukan KDA FC untuk 2024,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohammad Adhan berkata pemilik dan pihak pengurusan akan sentiasa bersilih ganti tetapi para penyokong akan tetap setia dan sentiasa berada di belakang pasukan.

    “Sebelum ini, kami ada suarakan untuk mengadakan perjumpaan bersama pemilik dan pengurusan tetapi suara kami tidak diendahkan. Jadi, kali ini kami harap suara kami didengar dan perjumpaan akan diadakan bagi menjawab segala persoalan yang timbul dalam kalangan penyokong KDA FC,” katanya. – Bernama

    Gambar Astro Awani
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...