Sunday, December 15, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kelas bahasa Cina semakin popular di Rusia

    Gambar AFP

    MOSCOW – Setiap Ahad, guru tuisyen Bahasa Cina, Kirill Burobin memulakan kerjanya seawal pagi dan sibuk sehingga tengah malam.

    Ketika Rusia berusaha untuk mengukuhkan hubungan dengan China di tengah kempen ketenteraannya di Ukraine, bilangan pelajar Burobin telah meningkat tiga kali ganda sejak tahun lalu.

    “Hari Ahad adalah hari paling sibuk,” kata Burobin, 20 tahun, yang memperoleh pendapatan lumayan dengan kelas-kelas dalam talian beliau, kepada AFP.

    “Saya mempunyai 16 jam kelas secara maya tanpa henti,” tambahnya.

    Lonjakan permintaan untuk kelas Bahasa Cina di Rusia menggambarkan peralihan tumpuan negara tersebut ke Asia dengan meningkatnya ketegangan antara Moscow dan Barat.

    Wang Yinyu mengajar kelas Bahasa Cina untuk orang dewasa di bandar Reutov.
    Orang dewasa menghadiri kelas Bahasa Cina di pusat bahasa Chinese First di bandar Reutov, Moscow.
    Kanak-kanak lelaki Rusia menghadiri kelas Bahasa Mandarin di pusat bahasa Chinese First di bandar Reutov.
    Pengasas Wang Yinyu (kanan) bercakap dengan isteri Natalia sebelum kelas Bahasa Cina untuk orang dewasa di bandar Reutov.

    Pengasas bersama pusat bahasa ChineseFirst, Wang Yinyu mengajar kelas bahasa Cina untuk orang dewasa, di bandar Reutov, di luar Moscow.
    Budak sekolah Rusia menghadiri pelajaran bahasa Cina di pusat bahasa ChineseFirst, di bandar Reutov, di luar Moscow.

    Kunjungan Presiden China, Xi Jinping selama tiga hari ke Rusia yang bermula pada Isnin bertujuan untuk memperkukuh apa yang digelar oleh kedua-dua negara sebagai hubungan ‘tanpa had’, yang semakin penting bagi Rusia ketika hubungan antarabangsanya semakin meningkat.

    Terjejas oleh beberapa siri sekatan Barat, pembangunan ekonomi dan teknologi Rusia semakin bergantung pada China.

    Natalia Danina, seorang pengurus di HeadHunter, syarikat pengambilan pekerja dalam talian terkemuka negara tersebut, menyatakan bahawa tahun lalu terdapat hampir 11,000 kekosongan jawatan yang memerlukan pengetahuan bahasa Cina, peningkatan sebanyak 44 peratus berbanding tahun 2021.

    Dalam tempoh yang sama, bilangan pekerjaan untuk penutur bahasa Cina di Rusia telah meningkat dua kali ganda dalam jualan, pengangkutan dan logistik, kata Danina, merujuk kepada ‘peralihan pesat’ ke peralatan dan alat ganti buatan China. Permintaan untuk penutur bahasa Cina dalam pekerjaan tenaga telah meningkat tiga kali ganda, tambahnya.

    Hanya permulaan

    Burobin, yang juga mengkaji tamadun Timur di universiti terkemuka Moscow, berkata, dia berasa gembira untuk membantu pelajar-pelajarnya mempelajari lebih banyak perkara mengenai ‘dunia serba baharu.’

    “Warga Rusia belajar Bahasa Cina kerana Beijing telah menjadi rakan utama kami selama beberapa dekad akan datang,” katanya. “Dan ini hanya permulaan,” tambahnya.

    Pada bulan Ogos, Avito, platform iklan kecil dalam talian terkemuka Rusia, melaporkan peningkatan sebanyak 138 peratus dalam permintaan untuk kelas Bahasa Cina di Moscow dalam tempoh satu tahun. Angka yang sama mencecah 350 peratus untuk bandar di timur jauh, Vladivostok.

    Populariti kelas Bahasa Cina mungkin mula menyaingi permintaan untuk kelas Bahasa Inggeris di negara itu.

    Alina Khamlova, 26, yang mengajar kedua-dua bahasa, berkata, bahawa dia hanya mempunyai tiga pelajar Bahasa Inggeris tahun ini, berbanding dengan 12 pelajar yang belajar Bahasa Cina.

    Salah seorang pelajar Alina ialah Maria, seorang pereka fesyen berusia 22 tahun yang mempunyai impian melancong ke China untuk mereka pakaian di sana kerana ianya ‘lebih murah berbanding di Rusia.’

    Pelajar yang lain ialah Ivan, seorang jurulatih gim berusia 25 tahun yang ingin bekerja di China kerana orang Eropah ‘menerima bayaran lumayan’ di sana.

    Khamlova juga berkata ramai orang muda di Rusia berharap untuk belajar di universiti-universiti China sekarang memandangkan banyak institusi di Eropah ‘tidak dapat diakses oleh mereka.’

    Sementara Bahasa Inggeris masih mengekalkan kedudukan yang dominan, bilangan pelajar sekolah menengah yang memilih Bahasa Cina sebagai bahasa asing semasa peperiksaan persekolahan terakhir mereka telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh satu tahun kepada 17,000, menurut badan pemantauan pendidikan negara, Rosobrnadzor.

    ‘Tiada sesiapa akan tewaskan kami’

    Pemulauan Rusia yang semakin meningkat daripada Barat telah mendorong banyak sekolah bahasa untuk menyemak semula kurikulum mereka dan menjemput guru-guru Bahasa Cina untuk mengajar.

    Ditubuhkan pada tahun 2017, pusat bahasa Chinese First menyaksikan pendaftaran meningkat dua kali ganda pada tahun ini, kata pengasas bersama Wang Yinyu, 38 tahun, dan isterinya dari Rusia, Natalia, penutur Bahasa Cina yang berusia 33 tahun.

    Perniagaan keluarga Wang sedang berkembang pesat, dan dia merancang untuk membuka dua cawangan baharu dan sebuah taman tadika di Moscow.

    Di Rusia, ‘banyak syarikat telah bergegas ke kilang-kilang di Cina untuk memesan barang-barang yang tidak lagi tersedia di Rusia akibat sekatan,” katanya kepada AFP dalam Bahasa Rusia.

    Dan usahawan Cina, yang berminat untuk mengeksport ke Rusia, sedang mencari pekerja yang fasih dalam dwibahasa.

    Wang gembira melihat Cina dan Rusia kini menjalin hubungan semakin erat.

    “China memiliki industri yang berpengaruh dan Rusia kaya dalam sumber, yang bererti kedua-dua negara kami dapat membangunkan ekonomi dalaman mereka sendiri,” katanya.

    “Jika kami saling menyokong dan melengkapi sesama sendiri, tidak ada sesiapa yang dapat mengalahkan kami,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda