KUALA LUMPUR, 24 Feb – “Jasa Kerajaan Arab Saudi akan kami kenang hingga akhir hayat”.
Itu luahan pasangan kembar siam Ahmad dan Muhammad Rosli, 19, yang dilahirkan bercantum dari bahagian dada hingga ke punggung.
Kisah mereka bukan sahaja mencuri perhatian masyarakat dunia tetapi juga Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz yang bermurah hati membiayai sepenuhnya kos pembedahan pemisahan mereka sebanyak RM1.7 juta.
Atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan baginda yang ketika itu merupakan putera mahkota Arab Saudi, Ahmad dan Muhammad kini mampu berdikari dan menjalani kehidupan seharian secara normal.
“Kami sendiri tak dapat bayangkan kalau masih bercantum… pergerakan mungkin terbatas dan susah nak lakukan aktiviti sebab walaupun kembar dan hampir seiras, saya dan Muhammad mempunyai minat dan cita-cita berbeza,” kata Ahmad ketika ditemui Bernama di rumahnya baru-baru ini.
Pembedahan dijalankan pada 17 Sept 2002 di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi dan mengambil masa 22 jam 45 minit dengan diketuai pakar bedah, Dr Abdullah Abdul Aziz Al Rabeeah beserta 41 doktor pakar, perunding perubatan dan kumpulan sokongan.
Mengimbau kembali detik pasangan kembar itu dipisahkan pada usia empat tahun, bapa mereka Rosli Abdul Rahim, 46, berkata sepanjang empat bulan berada di Arab Saudi, keluarganya bukan sahaja diberi layanan yang baik, tetapi juga sokongan semangat berterusan oleh keluarga diraja.
“Sepanjang tempoh pembedahan, kami sekeluarga hanya mampu bertawakal kepada Allah… perasaan bercampur baur, berdebar, takut semua ada tapi kami tidak putus-putus dibekalkan kata semangat dan sokongan untuk kekal kuat.
“Pasukan perubatan juga banyak membantu memberikan penerangan cara cara penjagaan termasuk dari segi emosi Ahmad dan Muhammad dan mereka semestinya memerlukan banyak masa untuk serasi dengan keadaan baharu,” katanya.
Menurut Rosli yang mengusahakan bengkel pertukangan besi, beliau menyimpan hasrat untuk membawa pasangan kembar itu berjumpa pengganti Almarhum Raja Abdullah, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang dijadual melawat Malaysia dari 26 Feb hingga 1 Mac, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih. – Bernama