Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembara 10 negara berjaya atas kata sepakat peserta

    Oleh Abdul Rahman Ahmad

    Perasaan risau dan khuatir  tidak dapat dinafikan dalam kalangan lapan peserta Kembara Inspirasi Haji yang melakukan perjalanan sejauh 16,000 kilometer menerusi jalan darat dan udara untuk ke tanah suci pertengahan tahun ini.

    Namun ia satu cabaran yang dipenuhi risiko yang perlu mereka ambil kerana pengembaraan yang belum pernah dilakukan oleh warga Malaysia dengan berkenderaan pacuan empat roda itu sememangnya dipenuhi dugaan, apatah lagi merentasi 10 negara.

    Perjalanan darat bermula dari Kuala Lumpur 18 Julai melalui  hampir 30 bandar dan bandar raya  di negara seperti Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Emiriyah Arab Bersatu melibatkan perjalanan sejauh 14,600 km dan baki perjalanan dari Dubai ke Jeddah terpaksa diteruskan melalui udara disebabkan kelewatan memperoleh  visa haji.

    Pengembaraan  mereka melalui jalan darat itu memberi satu kesedaran bahawa tiada apa yang mustahil jika  ia dilaksanakan dengan perancangan penuh teliti dan teratur berserta persefahaman dan pemuafakatan sesama peserta.

    Menurut   Pengarah Projek Kembara  Khir Ariffin, mereka pernah melakukan perjalanan setakat selatan China sebelum ini tetapi pengembaraan itu menghadapi masalah akibat sikap peserta yang mahu bertindak bersendirian.

    Peserta Kembara Inspirasi Haji terpaksa menunggu beberapa jam di sempadan China-Krygyzstan untuk memasuki Krygyzstan setelah 17 hari menetap di empat wilayah di China. – Bernama
    Disebabkan perjalanan yang jauh, enjin kenderaan perlu diperiksa setiap masa bagi memastikan kelancaran perjalanan pacuan empat roda kembara. – Bernama
    Sebuah daripada dua kenderaan pacuan empat roda Kembara Inspirasi Haji menuju ke pusat pemeriksaan sempadan China bagi meneruskan perjalanan ke Krygyzstan. – Bernama

    Cabaran

    Sepanjang pengembaraan, masa  mereka banyak dihabiskan di dalam kenderaan  dengan jarak perjalanan antara 250 km dan 1,000 km sehari yang ada kala sehingga awal pagi untuk sampai ke suatu  destinasi dengan masa  tidur mereka amat singkat dan ada kala tidak dapat mengelak daripada terlelap ketika dalam kenderaan walaupun dalam  sedang menikmati keindahan alam semula jadi.

    Pengembaraan mereka tidak selalunya manis, ada juga saat cemas dan penuh debaran seperti dikelilingi pasukan keselamatan yang bersenjata api dan ditahan di balai polis di Tupan, daerah Urumqi, China  semata-mata  kerana menunaikan solat di dalam sebuah masjid.

    Bersolat di dalam  masjid hanya dibenarkan ketika masuk waktunya dan jemaah dipaksa beredar dan pintu ditutup apabila selesai solat berjemaah dalam tempoh kurang 30 minit.

    Ketika  dalam tahanan polis untuk beberapa jam, perasaan yang paling membimbangkan ialah nasib pengembaraan mereka jika dihalau dari China tanpa menamatkan misi kembara itu.

    Namun, segalanya  berakhir dengan baik selepas perbincangan dan penjelasan  yang disampaikan kepada pihak berkuasa China itu yang dunia sedia maklum sukar bagi warga asing terutamannya media untuk bergerak bebas di negara paling ramai penduduk tersebut.

    Sentiasa dipantau

    Malah,  kehadiran mereka dipercayai sudah dipantau oleh pihak berkuasa China sebaik sahaja mereka memijak masuk ke bahagian pemeriksaan sempadan China-Laos pada 22 Julai dengan pemeriksaan yang mengambil masa lebih tiga jam.

    Ketika hendak memasuki bandar Shadian di wilayah Yunan,   mereka diiringi sebuah kereta pihak berkuasa sehingga ke sebuah hotel pada 4:30 pagi manakala  semasa melawat aktiviti kem musim panas di Masjid Xida di Jijie tidak jauh dari Shadian, mereka dipaksa memadamkan semua rakaman video dan foto aktiviti itu atas arahan seorang anggota polis yang sudah memerhatikan mereka sejak awal lagi.

    Setiap penjuru bandar yang dilewati peserta kembara termasuk di lebuh raya  dilihat dilengkapi kamera litar tertutup  (CCTV) bagi tujuan pemantauan  pergerakan orang awam.

    Sepanjang 17 hari di empat wilayah Yunan, Sichuan, Gansu dan Xinjing di China, perjalanan  mereka adalah lancar kerana melalui lebuh raya  yang sungguh lebar dengan kawasan rehat yang luas dan selesa dilengkapi pelbagai kemudahan.

    Pemandangan melalui bukit dan gunung  dengan warna alam amat mengkagumkan  di selang-seli dengan kawasan dataran menghijau dan seni bina tradisional rumah di sepanjang perjalanan di lebuh raya.

    Pesatnya sebuah pembangunan

    Dalam  perjalanan ke daerah Wudu di wilayah Gansu,  mereka terpaksa melalui kira-kira 50 terowong yang membuktikan betapa pesatnya pembangunan infrustruktur  di negara itu, sekali gus menggambarkan keseriusan kerajaan China dalam menghubungkan masyarakat setempat selain menyediakan  akses ke kawasan pedalaman.

    Dari segi ekonomi dan penggunaan  tenaga,  kincir angin gergasi kelihatan begitu banyak di kawasan lapang di samping pergantungan pada tenaga solar begitu ketara bagi penjanaan tenaga elektrik.

    Dalam  setiap perjalanan itu, peserta kembara tidak terlepas daripada terpandang bangunan masjid, sama ada baharu  atau lama.

    Walaupun jumlah masjid begitu banyak, bilangan jemaah yang datang bersolat fardu terlalu sedikit dan hanya dipenuhi warga tua walaupun kawasan itu padat dengan penduduk beragama Islam.

    Malah, semasa  peserta kembara menunaikan  solat Jumaat di sebuah masjid di bandar  Wudu, bilangan jemaah hanya mencukupi 40 makmum.

    Semasa hendak memulakan pengembaraan, timbul keresahan dalam kalangan peserta kembara mengenai cerita penindasan dan penganiayaan terhadap orang Islam.

    Ketika  berada di China, mereka cuba mendapatkan pengesahan mengenainya daripada masyarakat Islam namun mereka menjauhkan diri daripada bercakap mengenainya terutama mengenai dakwah dan jihad.

    Hanya seorang lelaki beragama Islam yang memberanikan diri  tampil bercerita mengenai kebenaran dakwaan itu serta keadaan dan nasib orang Islam di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam.

    Walaupun bukan negara Islam, solat berjemaah oleh peserta kembara di kawasan terbuka seperti di kawasan rehat lebuh raya dan di dalam bangunan yang dipenuhi ramai bukan Islam, dapat dilakukan dengan selesa tanpa diganggu. Akan tetapi tidak pula di negara Islam seperti Uzbekistan dan Turkmenistan  yang boleh mengakibatkan umat Islam ditahan polis apabila solat berjemaah di kawasan terbuka.

    Satu kejayaan

    “Ya, kita orang muda tidak dibenarkan bersolat di masjid. Saya pernah ditahan kerana bersolat… yang saya tidak tahan apabila mereka ajukan soalan yang menyakitkan hati seperti kenapa kamu bersolat kenapa  tidak solat di rumah dan macam-macam lagi, “Ketika  ini ramai polis berpakaian awam yang sentiasa memerhatikan kita… tidak apa,  awak sahajalah pergi bersolat,” kata seorang  pemandu pelancong yang fasih berbahasa Melayu kerana pernah melanjutkan pelajaran di Malaysia.

    Pada keseluruhannya, hasrat pengembaraan mereka tercapai  kerana selain menunaikan haji, mereka dapat melakukan kerja amal seperti menyumbang makanan dan barang keperluan kepada pelarian Islam di Bangkok,  jemaah haji di Makkah,  penduduk kampung di China dan kaum nomad di pergunungan Krygyzstan. Kejayaan pengembaraan itu juga terletak pada keadaan kedua-dua kenderaan pacuan empat roda yang sama sekali tidak mengalami sebarang kerosakan walaupun sarat dengan muatan. Pengembaraan peserta kembara inspirasi haji itu boleh disaksikan dalam dokumentari 13 episod yang akan disiarkan melalui Astro 502 Bernama News Channel pada suku pertama 2018. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda