Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Negara Brunei Darussalam menjadi negara yang ke-98 disinggahi oleh pengembara dunia dari Bandung, Indonesia, Jeffrey Polnaja yang pada masa ini sedang dalam pengembaraan secara solonya buat kali kedua dengan menunggang motosikalnya.
Jeffrey, berusia 57 tahun yang berada di Brunei Darussalam selama lima hari, berkata bahawa ini merupakan pengembaraan solo kedua yang dikenali sebagai Equatoride Stitching the World, Ride for Peace di mana beliau menggariskan laluan perjalanan tanpa hentinya di 25 negara tropika antara 23.5 darjah Utara dan 23.5 darjah Selatan dalam tempoh dua tahun.
Sebelum ini, beliau telah mengembara ke 97 buah negara mengelilingi dunia dalam pengembaraan solo pertama bermula tahun 2006.
Pengembaraan pertama tersebut yang dikenali sebagai Ride of Peace memakan masa selama sembilan tahun, berakhir pada tahun 2015, dengan jarak keseluruhan yang diterokainya sejauh 420,000 kilometer.
Jeffrey Polnaja telah mengongsi perkara itu semasa ditemui oleh Media Permata di sidang media yang berlangsung hari ini di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Brunei.


Jeffrey telah membuat pengembaraan dari Kalimantan menuju ke Kuching sebelum selamat tiba di Brunei pada 28 November lalu melalui Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh dan sempat mengikuti aktiviti-aktiviti yang ada di Brunei Darussalam bersempena dengan Festival Disember Brunei, seperti International Capital Bike Week di Dermaga Diraja, di ibu negara.
“Melalui misi ini, saya berharap saya dapat mempromosi keamanan seluruh dunia dan mengukuhkan perhubungan sesama manusia, terutama pada masa ini antara Indonesia dan Brunei,” jelas Jeffrey pada sidang media tersebut.
Beliau juga mengucapkan terima kasihnya kepada rakyat Brunei atas layanan dan kemesraan yang diberikan di sepanjang keberadaannya di Brunei Darussalam.
Brunei menjadi negara kedua dikunjunginya semasa pengembaraan Equatoride, dan Jeffrey akan meneruskan misinya esok ke Kota Kinabalu, Sabah seterusnya menuju ke Filipina, Timor Leste, Australia dan negara-negara Pasifik, ASEAN, Asia Selatan dan Amerika Selatan. Pengembaraan Equatoride itu dijangka akan tamat pada penghujung tahun 2021.
Di sidang media tersebut, beliau juga turut mengongsi beberapa cabaran yang pernah ditempuh di sepanjang pengalaman pengembaraannya di seluruh dunia. Antaranya ialah membuat perjalanan bukan di jalan raya dan pernah dihampiri oleh warga Afghanistan yang mempunyai senapang, di mana mereka menembak senapang tersebut ke udara kerana dikhuatiri Jeffrey menjadi ancaman bagi mereka.
Namun walau pelbagai cabaran yang sebegitu berlaku terhadapnya, ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangannya menjelajahi dunia.
Semangat Jeffrey mendapat tiupan semangat daripada keluarga iaitu anak dan isterinya yang sentiasa memberikan sokongan moral dan fizikal kepadanya, dan sering mengunjungi beliau di suatu tempat yang beliau pergi.
Dalam kenyataan akhbar, Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko melahirkan harapan agar Jeffrey akan terus menjadi duta baik Indonesia untuk membantu mempromosi Indonesia sebagai sebuah negara yang aman dan bertenaga di dunia.
Jeffrey Polnaja merupakan pengembara motosikal pertama Indonesia untuk mengelilingi dunia dengan menggunakan motosikal secara solo dan salah seorang daripada lima pengembara jauh di dunia.