Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembara Sains Borneo libatkan 15,000 peserta

    LAHAD DATU, 2 OGOS – Kembara Sains Borneo 2024, suatu program khas Pusat Sains Negara, akan menjelajah daerah di Sabah dan Sarawak dan mengunjungi lebih 20 sekolah, sekali gus memberi manfaat kepada 15,000 peserta.

    Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Ruziah Shafei berkata kembara itu membawa pengalaman pembelajaran sains bukan formal yang menyeronokkan kepada komuniti pedalaman dan luar bandar seterusnya memantapkan peranan sains, teknologi dan inovasi di kedua-dua negeri.

    “Program ini bertujuan untuk memupuk minat masyarakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui kaedah pembelajaran interaktif serta kreatif, pelbagai aktiviti interaktif yang menarik berkonsepkan hands on, minds on, hearts on dilaksanakan,” katanya kepada pemberita.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran program Kembara Sains Borneo 2024 yang disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal di sini hari ini.

    Antara aktiviti program ialah sesi ceritera sebalik radas daripada saintis-saintis terkenal, sukan kinect, cabaran dron, demonstrasi sains, cabaran STEM, planetarium mini dan planet realiti maya.

    Dalam pada itu, Ruziah berkata pihaknya turut bekerjasama dengan pihak universiti misalnya Universiti Malaysia Sabah (UMS) selain Akademi Sains Malaysia (ASM) bagi menjayakan Kembara Sains Borneo. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda