Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Kementerian Kesihatan komited tingkat kualiti perkhidmatan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Kementerian Kesihatan sentiasa komited untuk meningkatkan tahap perkhidmatan yang berkualiti dan selamat.

    Kualiti perkhidmatan kesihatan adalah faktor kritikal dalam memastikan kesejahteraan pesakit, petugas, pelawat serta persekitarannya. “Adalah penting bagi hospital menyediakan penjagaan berkualiti tinggi kepada pesakit mereka dan ini memerlukan komitmen untuk kecemerlangan daripada semua profesional penjagaan kesihatan.

    “Kualiti perkhidmatan hospital boleh diukur dalam pelbagai cara, termasuk kepuasan pesakit, hasil klinikal, dan keselamatan.

    “Di samping itu, pesakit juga mengharapkan untuk berada di tempat yang kondusif untuk pemulihan.”

    Dalam hubungan itu, Kementerian Kesihatan peka akan penjagaan kesihatan yang komprehensif dan bersistematik bagi memenuhi keperluan orang ramai secara lebih berkesan, jelas Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Lantikan Ahli-ahli Baharu Lembaga Pelawat Hospital-hospital Sesi 2023-2025 dan Penyampaian Sijil Penghargaan Ahli-ahli Lembaga Pelawat Hospital Sesi 2018-2020 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Haji Maswadi ketika menyampaikan surat lantikan kepada salah seorang ahli Lembaga Pelawat Hospital-Hospital Sesi 2023-2025. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Haji Maswadi serta jemputan khas bergambar ramai dengan Lembaga Pelawat Hospital-Hospital Sesi 2023-2025. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Ang Swee Hui; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

    Walau bagaimanapun, tambah Haji Maswadi, masih banyak ruang untuk pembaikan dan sememangnya perbandingan lazim dibuat di antara hospital awam dan swasta atau hospital luar negara.

    “Saya secara peribadi percaya di samping keterbatasan kakitangan dan kemahiran berbanding perkembangan perkhidmatan yang pesat, bilangan penduduk yang semakin bertambah setiap pegawai, setiap kakitangan, setiap syarikat-syarikat yang mendokong operasi hospital telah memberikan perkhidmatan yang terbaik dan akan terus komited memberikan perkhidmatan terbaik.”

    Beliau seterusnya menyatakan, Kementerian Kesihatan sejak 1997 telah melantik ahli-ahli Lembaga Pelawat Hospital-hospital daripada kalangan pelbagai kategori pihak yang berkepentingan.

    Haji Maswadi berkata dengan adanya ahli lembaga itu, dapat mendukung hasrat negara untuk menjadikan setiap hospital mesra pesakit, kondusif, profesional serta mencerminkan Melayu Islam Beraja.

    “Hasil daripada laporan-laporan dan cadangan-cadangan yang diberikan oleh ahli-ahli Lembaga Pelawat Hospital-hospital akan membolehkan Kementerian Kesihatan mengambil langkah-langkah yang bersesuaian dan berpatutan dalam memperbaiki apa jua kekurangan atau aduan bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan penjagaan kesihatan kepada orang ramai agar lebih berkesan, efisien dan memuaskan,” ujar beliau lagi.

    Majlis seterusnya menyaksikan Haji Maswadi menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan dan surat lantikan. Majlis juga menyaksikan penyampaian sesi taklimat bagi ahli-ahli lembaga yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat Khas, Dayang Siti Ajar binti Haji Yusop.

    Ahli-ahli lembaga sesi 2023-2025 terdiri daripada sembilan orang ahli bagi Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di Daerah Brunei dan Muara; tujuh bagi Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Daerah Belait; enam bagi Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Daerah Tutong; dan empat bagi Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam (PIHM), Daerah Temburong.

    Ahli-ahli yang dilantik terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan, perwakilan daripada pihak swasta, penghulu-penghulu mukim atau ketua-ketua kampung, perwakilan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs), pengerusi badan-badan perniagaan dan orang-orang perseorangan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...