Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Dalam usaha berterusan untuk membantu menambah stok bekalan darah bagi insan-insan yang memerlukan, Institut KEMUDA cawangan Beribi dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah menganjurkan kempen derma darah, hari ini, bertempat di institut tersebut.
Acara amal tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan kakitangan serta pelajar institut berkenaan tentang kepentingan menyelamatkan nyawa dengan meningkatkan bekalan tabung darah negara.
Ini merupakan tahun ke-5 Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS dan Institut KEMUDA menganjurkan majlis seumpama yang mendapat sambutan yang baik bukan sahaja terdiri daripada para pelajar malah golongan penderma daripada orang ramai.
Menerusi kegiatan pendermaan darah berkenaan, penderma telah mengikuti beberapa prosedur atau syarat tertentu antaranya melakukan pemeriksaan saringan kesihatan sebelum layak menderma darah. Ini penting untuk mengetahui status kesihatan mereka seperti berat badan dan jumlah hemoglobin dalam darah.
Dalam pada itu, umur yang layak untuk menderma darah bermula pada 17 tahun (dengan kebenaran ibu bapa) dan berat penderma mestilah melebihi 45 kilogram.
Sehubungan itu, bagi memastikan stok darah mencukupi, Pusat Pendermaan Darah sentiasa mengalu-alukan organisasi dan individu untuk mengunjungi pusat pendermaan tersebut.
