SHENZEN, 10 DIS – Kemudahan tenaga angin dengan kapasiti penjanaan elektrik lebih daripada 10 bilion kilowatt-jam (kWj) setahun telah mula beroperasi sepenuhnya dan disambungkan ke grid di Wilayah Autonomi Mongolia Dalam, utara China hari ini, dan ia merupakan tapak tenaga angin darat yang terbesar di negara itu.
Projek tersebut dijalankan oleh pengendali tenaga nuklear terkemuka China, China General Nuclear Power Corporation (CGN), dan loji tenaga angin yang dibina di Liga Hinggan, Mongolia Dalam, merupakan salah satu daripada kumpulan pertama tapak tenaga angin dan solar berskala besar negara itu yang dirancang untuk kawasan padang pasir.
Tenaga elektrik yang dijana oleh loji itu adalah mesra alam dan bersamaan dengan pengurangan penggunaan arang batu standard sebanyak kira-kira 2.96 juta tan, serta mencegah sekitar 8.02 juta tan pelepasan karbon dioksida, menurut syarikat yang beribu pejabat di bandar Shenzhen, Wilayah Guangdong, selatan China.
“Dengan tapak tenaga angin ini, kapasiti terpasang kemudahan penjanaan kuasa tenaga baharu CGN yang beroperasi di China dijangka mencecah 45 juta kilowatt menjelang akhir tahun ini,” kata Zhang Zhiwu, pengerusi lembaga CGN New Energy Holdings Co Ltd. – Xinhua