Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenyalang Gold Card: Bantuan ihsan kematian dipinda tahun ini

    SIBU, 1 FEB – Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak akan meminda bantuan ihsan kematian (BIK) yang disalurkan kerajaan Sarawak kepada pemegang Kenyalang Gold Card (KGC) pada tahun ini.

    Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pindaan itu dibuat berikutan keluhan pemegang kad tersebut yang merasakan mereka tidak menikmati sebarang faedah daripada bantuan tersebut.

    Melalui pindaan itu, bantuan ihsan tersebut yang berjumlah RM3,000 itu akan dikurangkan.

    “Ramai pemegang kad meminta supaya mereka dapat menerima faedah bantuan itu ketika masih hidup. Dalam pindaan itu kami akan kurangkan BIK dan menyarankan supaya pemegang kad menerima bantuan rawatan kesihatan,” katanya.

    Fatimah berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina 2024 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak hari ini.

    Menurut beliau selepas pindaan itu kelak, pemegang KGC boleh menggunakan bantuan itu untuk mendapatkan rawatan kesihatan di hospital swasta yang menjadi rakan strategik KGC.

    KGC adalah eksklusif untuk rakyat Sarawak yang berumur 60 tahun ke atas iaitu mereka boleh menikmati keistimewaan dan faedah kad seperti diskaun ke atas produk dan perkhidmatan untuk rakyat Sarawak daripada vendor strategik KGC selain menawarkan BIK RM3,000 bagi menampung perbelanjaan pengebumian kematian pemegang kad.

    BIK hanya diberikan kepada pemegang KGC yang tidak mendapat perlindungan insurans, Tabung Haji, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan sebagainya. – Bernama

    Datuk Seri Fatimah Abdullah (kiri) melihat buku manifesto pada Pelancaran Manifesto GPS bagi PRK DUN .67 Jepak pada 29 Oktober 2023. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda