Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keputusan PCKSA dikeluarkan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam (JPI) selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei (LPPUB), telah mengeluarkan keputusan Peperiksaan Pemilihan Calon ke Sekolah Arab (PCKSA) tahun 1445H/2024M.

    Menurut siaran akhbar yang dikeluarkan JPI hari ini mengongsikan, seramai 1,651 orang calon telah menduduki peperiksaan PCKSA dan daripada jumlah tersebut, seramai 429 orang calon iaitu 25.98 peratus telah lulus dan akan mengikuti pengajian Tahun 5 di sekolah-sekolah Arab yang berkenaan bagi sesi pengambilan tahun 1446H/2025M berbanding seramai 611 orang (35.11 peratus) lulus pada tahun 2023.

    Daripada jumlah berkenaan, seramai 213 orang (26.93 peratus) adalah calon lelaki dan 216 orang (25.12 peratus) adalah calon perempuan.

    Kenyataan turut memaklumkan ketua-ketua guru agama sekolah rendah kerajaan dan swasta yang berkenaan hendaklah mengambil keputusan calon bagi sekolah masing-masing pada 14 November di Pejabat Bahagian Peperiksaan, JPI bertempat di Aras Bawah, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis bermula pukul 9 pagi.

    Ibu bapa dan penjaga calon bolehlah menghubungi pihak sekolah di mana anak mereka bersekolah untuk mengetahui keputusan anak masing-masing.

    Gambar Freepik

    Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga bagi calon-calon yang lulus dalam peperiksaan ini bolehlah mengambil borang pendaftaran dan kemasukan ke sekolah Arab di sekolah-sekolah Arab bagi calon lelaki di Daerah Brunei dan Muara adalah di Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Manakala bagi calon perempuan adalah di Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan (Bangunan SUAMPRIPAD).

    Di Daerah Tutong, borang boleh didapati di Mahad Islam Brunei Tutong bagi calon lelaki dan perempuan, seterusnya Sekolah Arab Belait bagi Daerah Belait dan Sekolah Arab Temburong bagi Daerah Temburong.

    Borang berkenaan bolehlah diambil bermula 14 November pada hari bekerja dari pukul 8:30 pagi hingga 12 tengah hari, dan pada sebelah petang pada pukul 2 petang hingga 4 petang, manakala hari Sabtu dari pukul 8:30 pagi hingga 12 tengah hari, dan tarikh akhir mengembalikan borang pada 23 November ini.

    Manakala bagi ibu bapa dan penjaga pelajar dari Sekolah Al-Falaah, hendaklah mengambil borang pendaftaran dan kemasukan ke sekolah Arab di Sekolah Al-Falaah Sungai Akar bermula 14 November dan mengembalikan semula borang tersebut ke sekolah berkenaan tidak lewat 21 November ini.

    Sementara bagi calon-calon peperiksaan, ibu bapa dan penjaga yang ingin mendaftar untuk mendapatkan keputusan peperiksaan melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), bolehlah menghantar SMS menggunakan telefon bimbit dengan menaip KHEU (jarak) REG (jarak) Nombor Pusat Peperiksaan (jarak) Nombor Indeks Calon dan hantar ke 8885555 bagi pelanggan DST, 38666 bagi pelanggan Progresif Sdn Bhd atau 39966 bagi pelanggan imagine Sdn Bhd.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda