Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerajaan Korea S diarah kurangkan pelepasan karbon

    SEOUL, 29 OGOS – Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan hari ini mengarahkan kerajaan Korea Selatan menyokong sasaran iklim negara dengan memperkenalkan tindakan lebih konkrit sehingga tahun 2049, memberikan kemenangan separa kepada aktivis iklim yang mendakwa kegagalan Korea Selatan mengurangkan pelepasan karbon lebih cepat sebagai pelanggaran hak asasi mereka.

    Keputusan itu dikeluarkan semasa mahkamah memutuskan empat kes iklim yang dikemukakan oleh 254 plaintif, termasuk golongan muda yang mula memfailkan aduan terhadap kerajaan dan ahli parlimen sejak 2020.

    Mahkamah menyatakan bahawa kerajaan Korea Selatan perlu menyediakan rancangan terperinci bagi mengurangkan pelepasan karbon dari tahun 2031 hingga 2049 dan meminda undang-undang neutraliti karbon menjelang 28 Februari 2026 untuk merangkumi rancangan tersebut.

    Plaintif berpendapat bahawa sasaran Korea Selatan untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 35 peratus daripada tahap 2018 menjelang 2030 adalah tidak mencukupi untuk menangani impak perubahan iklim, dan ia tidak disokong dengan pelan pelaksanaan yang jelas.

    Mereka juga menegaskan bahawa negara itu masih belum menetapkan pelan bagi pengurangan pelepasan karbon selepas tahun 2031 meskipun mempunyai matlamat mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.

    Walaupun mahkamah tidak mewajibkan kerajaan untuk menetapkan sasaran lebih tinggi bagi tahun 2030 di bawah akta neutraliti karbon, ia menolak permintaan plaintif untuk rancangan pelaksanaan yang lebih khusus, dengan alasan bahawa mereka tidak dapat membuktikan dasar tersebut bersifat tidak berperlembagaan.

    Kerajaan Korea Selatan setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan mahkamah tersebut. – AP

    Orang ramai ketika menghadiri sidang akhbar di luar Mahkamah Perlembagaan di Seoul, Korea Selatan, pada 29 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda