Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan BPU JBBSB
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Sebanyak 10 buah kenderaan terbiar di beberapa buah kawasan letak kereta awam dan di bahu-bahu jalan raya tanpa kebenaran telah dikesan di sekitar kawasan letak kereta Jalan Residency, Mukim Kianggeh dan kawasan letak kereta komersial Kampung Batu Bersurat, Mukim Gadong.
Daripada jumlah itu, dua buah telah dipindahkan ke tapak pelupusan melalui Jawatankuasa Abandoned Vehicles Nationwide Clean-Up Project, manakala lapan buah kenderaan lagi telah berjaya diselesaikan melalui mediasi dan telah dipindah sendiri oleh pemilik-pemilik kenderaan berkenaan.
Tindakan dan dapatan itu adalah hasil daripada Operasi Bersepadu Bersih 2/2023 dan Operasi Bersepadu Bersih 3/2023, yang telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) bersama Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBBSB, di sini, operasi bersepadu itu dijalankan pada 27 dan 28 Februari lalu di beberapa kawasan di bawah perbandaran Bandar Seri
Begawan dengan matlamat memastikan pematuhan Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian, Penggal 30, Pindaan 2021.
JBBSB mengingatkan bahawa di bawah Bab 12(1) (f) Penggal 30 Perintah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Pindaan 2021, mana-mana kenderaan terbiar di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga $1,000 bagi mana-mana individu dan $2,000 bagi mana-mana badan atau pun syarikat bagi sebuah kenderaan.
Sehubungan itu, jabatan berkenaan mengingatkan mana-mana individu, orang awam atau badan syarikat terutama sekali bengkel-bengkel membaik pulih kenderaan untuk sentiasa mematuhi akan peraturan dan undang-undang yang ada di negara ini serta sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan sifat bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar dan demi kemaslahatan orang ramai dan jika didapati, JBBSB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan.
Pada masa yang sama, jabatan berkenaan mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai sebarang aduan dan perkongsian maklumat yang berkaitan boleh menyalurkannya terus ke Talian e-Darussalam 123, e-mel Info@123.gov.bn, laman sesawang www.123.gov.bn, WhatsApp di talian 8333123 dan hotline bahagian penguatkuasaan undang-undang di talian 7291122.