Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerosakan sistem, perniagaan Bursa Tokyo digantung

    TOKYO, 1 OKT – Perniagaan di pasaran saham Tokyo, yang merupakan antara yang terbesar di dunia, digantung sepanjang hari pada hari ini selepas sistem mengalami masalah paling teruk dalam sejarahnya.

    Satu ‘kerosakan perkakasan’ mencetuskan masalah dengan penghantaran maklumat pasaran, kata operator Kumpulan Tukaran Jepun (JPX) dalam satu kenyataan.

    “TSE (Bursa Saham Tokyo) sedang merancang untuk mengganti perkakasan itu dan mengambil langkah wajar, termasuk penyelenggaraan lain, untuk memastikan perniagaan diteruskan esok,” tambahnya.

    Masalah itu dikesan pada awal hari ini dan perniagaan dihentikan kurang satu setengah jam sebelum perniagaan bermula.

    Pada tengah hari, JPX berkata perniagaan akan digantung sepanjang hari ini, menandakan penggantungan seharian pertama sejak sistem operasinya dipasang pada 1999.

    Koichiro Miyahara (dua dari kiri), Presiden dan CEO Bursa Saham Tokyo dan pegawai lain tunduk semasa sidang media di Bursa Saham Tokyo kelmarin. – AP

    Firma itu berkata kerosakan perkakasan bermakna sistem itu tidak dapat memindah secara automatik daripada ‘peranti yang rosak kepada peranti sokongan.’

    Memulakan semula sistem ‘akan menimbulkan kekeliruan untuk pelabur dan peserta pasaran, yang akan menjadikannya sukar untuk menjalankan perniagaan yang lancar,” tambahnya.

    Masalah itu melanda indeks Nikkei 225 dan Topix, serta bursa di Nagoya, Sapporo dan Fukuaka yang beroperasi menggunakan sistem Tokyo. Bagaimanapun, bursa Osaka beroperasi seperti biasa, kata operator.

    JPX ialah bursa ketiga terbesar di dunia berdasarkan nilai permodalan pasaran, pada AS$5.1 trilion, termasuk penyenaraian di bursa di luar Tokyo.

    Ia berada di belakang Bursa Saham New York dan Nasdaq, menurut Persekutuan Bursa Dunia.

    Pada hari biasa, saham bernilai kira-kira tiga trilion yen diniagakan di bursa Jepun. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda