Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Kes pemerdagangan orang, polis Thai tahan wanita tempatan

    BANGKOK, 1 NOV – Polis Thailand menahan seorang wanita yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes penyeludupan Rohingya ke Malaysia tujuh tahun lalu.

    Menurut Biro Siasatan Pusat, wanita itu dipercayai menjadi ejen yang membekalkan Rohingya untuk bekerja di Malaysia dan telah ditahan di Kanchanaburi pada Isnin selepas tujuh tahun melarikan diri.

    “Polis percaya wanita itu bersembunyi di negara jiran selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap pada 2015,” katanya.

    Wanita itu sudah dihantar ke Bangkok untuk didakwa. 

    Pada Mei 2015, polis menemukan 139 kubur di 28 kem sementara di Wang Kelian berhampiran sempadan Thailand-Malaysia yang mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan orang. Kubur yang sama turut dijumpai di Thailand.

    Kebanyakan yang menjadi mangsa sindiket itu berasal dari Myanmar dan Bangladesh.

    Polis Thailand telah mengeluarkan waran tangkap kepada 153 individu termasuk pegawai Tentera Thailand dan pegawai tempatan yang didakwa terlibat dalam kes itu. 

    Seorang bekas jeneral tentera Manas Kongpan bersama dengan pegawai lain dan puluhan warga Thailand telah disabitkan bersalah. Perbicaraan kes ini bermula pada 2015.

    Pada 2017 mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun kepada Manas atas beberapa pertuduhan termasuk pemerdagangan orang, penyeludupan pendatang tanpa izin dan jenayah terancang.

    Manas meninggal dunia akibat serangan jantung di Medical Correctional Hospital di Bangkok Jun tahun lalu.

    Selain Manas, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 78 tahun kepada 62 defendan termasuk bekas datuk bandar sebuah daerah di wilayah selatan Songkhla, Banjong Pongphon. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...