Friday, May 3, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Keselamatan makanan, perubahan iklim agenda Malaysia di ASEAN

    KUALA LUMPUR, 19 APRIL – Memperkukuh keselamatan makanan serantau dan menangani cabaran perubahan iklim adalah antara agenda utama yang akan diketengahkan Malaysia apabila menjadi Pengerusi ASEAN, sekali gus menentukan peranan kepimpinan Malaysia dalam blok serantau itu.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam temu bual rancangan Bernama TV ‘The Nation ASEAN+’ hari ini, menekankan bagaimana konflik Rusia-Ukraine telah memberi kesan keselamatan makanan di peringkat global.

    Menggesa negara anggota ASEAN menggabungkan kekuatan mereka untuk menangani isu itu, Johari berkata, “ASEAN perlu duduk dan mempertimbangkan bagaimana untuk mentadbir kekuatannya bersama-sama bagi memastikan rantau ini tidak berlapar.”

    Beliau berkata ASEAN perlu beralih daripada budaya silo kepada menggabungkan kekuatannya iaitu tanah pertanian yang besar, kekuatan kewangan, tenaga kerja dan teknologi untuk mewujudkan keselamatan makanan di rantau ini.

    Johari menekankan kepentingan berkongsi idea, pengalaman dan kepakaran dalam kalangan negara anggota bagi meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan yang bertujuan meningkatkan keselamatan makanan.

    Gambar Freepik

    Dengan gabungan penduduk ASEAN seramai 680 juta orang, beliau menekankan potensi blok serantau itu sebagai pasaran dalaman yang besar.

    “ASEAN tidak memerlukan pemasaran. Dengan bekerjasama, negara anggota boleh mengurangkan kos dan mencapai kecekapan yang lebih tinggi,” katanya.

    Sebagai presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) yang akan datang, Johari mengulangi komitmen Malaysia untuk memajukan agenda penting yang lain, termasuk inisiatif perubahan iklim, semasa menjadi Pengerusi ASEAN akan datang.

    Beliau berkata Malaysia juga berminat dalam mempromosikan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen, hidro dan solar.

    Johari juga menyeru ASEAN untuk melabur dalam pendidikan dan pembangunan bakat muda untuk melahirkan pemimpin yang mampu mengekalkan kedudukan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...