Friday, September 20, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kestabilan sosioekonomi kunci kesejahteraan mental

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Forum Perdana Majlis Ilmu 2024 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini menekankan pentingnya kesedaran masyarakat terhadap kesejahteraan mental serta kesalinghubungan antara kestabilan sosioekonomi dan kualiti hidup.

    Forum bertemakan Kestabilan Sosioekonomi dan Impaknya Terhadap Kesihatan Mental menampilkan tiga panel jemputan yang terdiri daripada pakar tempatan, yang membincangkan topik tersebut dari sudut pandang Islam dan sains.

    Panel pertama, Dekan Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr Mohd Shahril bin Ahmad Ramizi, menegaskan bahawa Brunei terus memberi penekanan terhadap inisiatif menangani isu kesihatan mental, termasuklah pendekatan bersepadu di seluruh negara melalui program seperti Malam Munajat.

    Sementara itu, Ketua Jabatan Perkhidmatan Psikiatri, Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr Hajah Fariza Suryani binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, menggariskan peranan penting pendidikan dalam menjaga kesihatan masyarakat pasca pandemik COVID-19. Beliau turut berkongsi mengenai aplikasi BruHealth dan Talian Harapan 145 sebagai saluran sokongan yang terus memperkukuh kesihatan mental di kalangan masyarakat.

    Panel ketiga, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid, pula membincangkan cabaran generasi muda yang terdedah kepada pengaruh luar dan teknologi, termasuk ketagihan gajet.

    Beliau menekankan peranan ibu bapa dalam memantau anak-anak dan pentingnya ajaran Islam sebagai panduan dalam menjaga kesejahteraan mental.

    Forum tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kesihatan mental dan impak kestabilan sosioekonomi terhadap kehidupan seharian, sambil menggariskan peranan penting Islam dalam menangani cabaran kesihatan mental.

    Awang Muhammad Yussof semasa menyampaikan forum pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Pengiran Dr Hajah Fariza Suryani semasa menyampaikan forum pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda