Thursday, May 2, 2024
30.3 C
Brunei

    -

    Ketahui larangan-larangan ketika menziarahi kubur

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Ziarah kubur merupakan amalan yang pada lazimnya lebih bersemarak di bulan Ramadhan serta Hari Raya ‘Idul Fitri. Terdapat juga sesetengah keluarga yang menjadikannya rutin yang dilakukan secara lebih kerap seperti seminggu sekali, umpamanya setiap hari Jumaat, sebulan sekali atau pada waktu-waktu tertentu yang dipersetujui oleh ahli keluarga untuk berziarah beramai-ramai ke kubur.

    Ziarah kubur bukan satu amalan biasa. Bahkan ia merupakan satu ibadat. Walaupun kubur merupakan tempat persemadian jasad orang yang sudah meninggal dunia, ia bukan satu tempat sembarangan yang boleh diperlakukan sesuka hati. Oleh sebab itu, dalam syariat Islam, amalan ziarah kubur mempunyai larangan-larangannya yang tersendiri yang perlu dijauhi supaya amalan tersebut, yang asalnya merupakan satu ibadat, tidak menjadi amalan yang sia-sia atau mendatangkan dosa.

    HUKUM ZIARAH KUBUR

    Hukum menziarahi kubur bagi lelaki adalah sunat. Manakala bagi golongan perempuan pula, sama ada perempuan yang dalam keadaan suci mahupun dalam keadaan haidh atau nifas, hukumnya adalah makruh.

    Ini dengan syarat perempuan itu mampu mematuhi segala syarat serta larangan ketika menziarahi kubur, seperti mampu mengawal kesedihan, menjaga aurat, terhindar daripada fitnah dan sebagainya. Sekiranya perempuan itu tidak berupaya untuk mematuhi segala syarat serta larangan tersebut, maka hukum menziarahi kubur bagi perempuan menjadi haram.

    Berbeza pula hukumnya menziarahi kubur Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini kerana menziarahi kubur Baginda disunatkan ke atas lelaki mahupun perempuan. Begitu juga menurut sebahagian ulama, sunat berziarah ke kubur para nabi, para ulama dan aulia.

    Gambar Canva

    HIKMAH ZIARAH KUBUR

    Ziarah kubur mempunyai banyak hikmah. Antaranya:

    1. Supaya dikasihi Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana mengikut dan menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    2. Bagi merenung asal-usul kejadian manusia yang berasal daripada tanah dan akan kembali semula ke tanah.

    3. Bermuhasabah dengan mengingati hari kematian, alam kubur (barzakh) dan Hari Kiamat, sama ada akan layak menuju ke syurga atau sebaliknya.

    4. Mengambil iktibar serta pengajaran dari apa yang telah berlaku, untuk melembutkan kekerasan hati dan menggamit kesedihan yang membawa kepada kesedaran.

    5. Mengingat kembali pengorbanan orang-orang yang berjasa dan orang-orang yang berjihad kerana menegakkan kalimah Tauhid.

    6. Mendidik diri agar bersifat zuhud, iaitu tidak rakus dan tidak tamak akan harta benda dunia.

    7. Berlaku ihsan kepada penghuni kubur dan menggembirakan mereka dengan memberi salam, berdoa dan memohon keampunan untuk mereka.

    LARANGAN-LARANGAN KETIKA MENZIARAHI KUBUR

    Ziarah kubur mempunyai larangan-larangan tertentu yang perlu dijauhi. Antara larangan tersebut ialah:

    1. Membuka aurat. Bahkan hendaklah menutup aurat dengan sempurna dengan memakai pakaian yang sopan, bersesuaian dan mematuhi tuntutan syara‘.

    2. Duduk atau bersandar tanpa apa-apa keperluan di atas kubur kerana perbuatan tersebut hukumnya makruh di sisi syara‘.

    Bagaimanapun, jika terpaksa melakukannya kerana suatu keperluan atau darurat, contohnya kerana tidak ada ruang disebabkan keadaan tanah perkuburan yang kuburnya sudah sesak dan padat serta berdekatan di antara satu kubur dengan kubur yang lain, maka dalam hal seumpama ini tidak makruh duduk atau bersandar di atasnya.

    Larangan duduk di atas kubur itu ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    Seseorang yang duduk di atas bara api lalu terbakar pakaiannya sehingga terkupas kulitnya, adalah lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kubur.
    (Hadits riwayat Muslim)

    Adapun duduk di sekitar atau di sekeliling kubur pula, yakni bukan di tempat mayat ditanam di bawahnya adalah tidak dilarang.

    3. Berjalan di atas kubur atau memijaknya tanpa keperluan kerana memijak itu sama hukumnya seperti duduk.

    Walau bagaimanapun, jika tidak ada jalan lain menuju ke kubur yang hendak diziarahi itu melainkan dengan memijak kubur yang lain, maka dalam keadaan sedemikian harus hukumnya memijak kubur kerana adanya keperluan.

    Adapun lalu atau memijak kawasan persekitaran dalam tanah perkuburan yang bukan tempat mayat ditanam di bawahnya adalah tidak makruh walaupun memijaknya atau lalu di atasnya tanpa keperluan.

    Ini kerana larangan daripada memijak, begitu juga duduk, berbaring atau bersandar itu hanyalah khusus jika dilakukan di atas kubur tempat mayat ditanam sahaja dan bukan di persekitaran atau tempat laluan yang disediakan di kawasan tanah perkuburan.

    4. Meratap, memekik, meraung serta memukul-mukul pipi kerana terlalu dukacita. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang perbuatan sedemikian sepertimana hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, Baginda bersabda yang maksudnya:

    Tidak termasuk di dalam golongan kami orang yang memukul-mukul pipinya dan mengoyak-ngoyak koceknya dan berteriak-teriak seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah.
    (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Adapun perasaan sayu, hiba, sedih atau airmata yang mengalir tanpa pekikan, ratapan dan yang seumpamanya tidak dilarang kerana kesedihan dan airmata itu merupakan tanda rasa kasih terhadap ahli kubur atau kerana perasaan insaf dan gerun terhadap kematian serta hari pembalasan.

    5. Berkata batil mahupun bergurau senda, menyanyi-nyanyi dan berbual kosong ketika berziarah.

    Sebaliknya hendaklah diisikan waktu ziarah kubur itu dengan bermuhasabah dan mengambil iktibar serta menghadiahkan bacaan ayat suci al-Qur‘an dan berdoa memohonkan kesejahteraan dan keampunan untuk si mati yang diziarahi serta ahli-ahli kubur yang lain.

    6. Melakukan perkara-perkara syirik dan khurafat yang menjejaskan aqidah seperti mencium kubur, mengelilinginya, mengambil dan mengusap-usap tanahnya dan yang seumpamanya bagi tujuan pemujaan atau kepercayaan tertentu seperti beroleh berkat, kesembuhan dan sebagainya.

    Perkara sesat seperti ini adalah haram dan ia akan menjejaskan kesucian agama Islam dan menjatuhkan pelakunya ke lembah syirik.

    7. Membuang air kecil ataupun air besar di atas kubur kerana perbuatan tersebut haram di sisi syara‘. Begitu juga tidak wajar berak dan kencing dipersekitarannya kerana perbuatan tersebut hukumnya makruh dan merupakan perbuatan yang tidak bermoral dan tidak bertamadun.

    8. Mengotorkan kawasan tanah perkuburan dengan meninggalkan sisa-sisa plastik, surat khabar, botol dan sebagainya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jeremiah Manele dipilih sebagai PM baharu Kepulauan Solomon

    HONIARA, 2 MEI - Menteri Luar Jeremiah Manele dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Kepulauan Solomon oleh ahli Parlimen negara itu pada Khamis, umum Gabenor...