Thursday, May 2, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Daripada hobi Koryou kini bergelar pencipta wangian

    KUALA LUMPUR – Bermula sebagai pengumpul minyak wangi sejak bangku sekolah, Koryou Xing, tidak menyangka hobinya itu bertukar kepada kerjaya sepenuh masa sehingga beliau kini bergelar pencipta wangian dengan jenamanya sendiri.

    Koryou, 31, yang sebelum ini bekerja di sebuah syarikat pengiklanan berkata idea itu tercetus selepas beliau menghabiskan ribuan ringgit untuk membeli wangi-wangian berjenama tempatan dan luar negara kerana meminati kepelbagaian aroma daripada wangian tersebut.

    Disebabkan itu, anak jati Kuala Lumpur ini merasakan sudah tiba masanya mencipta wangian premiumnya sendiri dan seterusnya berkongsi dengan para peminat minyak wangi.

    “Saya memang peminat minyak wangi sejak kecil lagi. Setiap kali keluar ke mana-mana memang wajib sembur minyak wangi dan sebab itu saya tak kisah habiskan ribuan ringgit semata-mata untuk membelinya.

    “Maka satu hari itu terfikir memandangkan saya bekerja dalam bidang pengiklanan, jadi apa salahnya jika saya gabungkan pengalaman kerja dan hobi untuk mencipta aroma minyak wangi yang premium tetapi mampu dimiliki semua orang,” katanya kepada Bernama.

    Koryou Xing ketika ditemui Bernama. – Bernama
    Koryou sebelum ini bekerja di sebuah syarikat pengiklanan berkata idea itu tercetus selepas beliau menghabiskan ribuan ringgit untuk membeli wangi-wangian berjenama tempatan dan luar negara kerana meminati kepelbagaian aroma daripada wangian tersebut. – Bernama
    Gambar Bernama
    Bermula sebagai pengumpul minyak wangi sejak bangku sekolah, Koryou, tidak menyangka hobinya itu bertukar kepada kerjaya sepenuh masa sehingga beliau kini bergelar pencipta wangian dengan jenamanya sendiri. – Bernama
    Gambar Bernama

    Koryou berkata pada awal penglibatannya sebagai pencipta wangian, beliau terlebih dahulu membuat lilin wangi pada 2019 sebelum perniagaannya dikembangkan kepada menjual minyak wangi yang kini mempunyai 10 jenis minyak wangi.

    Menurutnya wangian yang menggunakan bahan-bahan dari luar negara itu berkonsepkan ke arah kehidupan seharian dan mempunyai memori tertentu yang sudah pasti mampu mengamit kenangan pemakainya.

    “Setiap minyak wangi ciptaan saya mempunyai cerita tersendiri dan pemakainya boleh faham dengan jalan cerita yang ingin disampaikan.

    “Misalnya, saya mempunyai pelanggan yang menitiskan air mata ketika menghidu salah satu wangian yang saya hasilkan kerana baunya itu mengingatkan dirinya kepada neneknya yang sudah meninggal dunia,” katanya yang mempelajari sendiri cara menghasilkan minyak wangi melalui pembacaan buku dan YouTube.

    Selain menjual minyak wangi hasil air tangannya, pelanggan ke kedainya di Sentul di sini turut berpeluang merasai pengalaman mereka wangian ciptaan sendiri pada harga yang berpatutan.

    Katanya, sebelum menghasilkan minyak wangi yang diinginkan, mereka perlu terlebih dahulu menjawab kuiz personaliti diri supaya minyak wangi yang akan dihasilkan lebih sesuai dengan karakter masing-masing.

    “Di kedai saya kita bukan sahaja menghasilkan minyak wangi, tetapi saya memberikan tips kepada pelanggan bagaimana mereka boleh cipta wangian melambangkan keperibadian si pemakai mengikut citarasa mereka.

    “Kebiasaannya yang buat wangian sendiri ini selalunya pasangan, malah orang juga boleh kenal karakter pasangan masing-masing dengan lebih dekat waktu menghasilkan wangian,” katanya.

    Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan cabaran bergelar pencipta wangian, Koryou berkata kerjaya itu memerlukan dirinya untuk lebih kreatif dalam menghasilkan bau yang menarik dan unik.

    Katanya, beliau juga belum mempunyai perancangan untuk mengembangkan perniagaannya ke peringkat antarabangsa memandangkan mahu memperkukuhkan penjenamaan produknya terlebih dahulu.

    “Saya ada rancangan untuk meneroka pasaran antarabangsa tetapi bukan ketika ini sebab sekarang semua benda kena buat sendiri seperti menghasilkan wangian, menghantar tempahan melalui perkhidmatan kurier atau pos dan menjaga kedai.

    “Pada pendapat saya, kalau jenama ini nak masuk pasaran luar negara maka ia perlu strategi dan jenama yang bagus. Mungkin pada masa akan datang kalau dah stabil, saya mungkin memperluaskan bisnes ini,” katanya yang turut mempunyai pelanggan dari luar negara. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...