Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Strok merupakan punca kematian keempat di Negara Brunei Darussalam dan strok juga musuh senyap yang menyerang tanpa amaran, tidak mengenal usia, jantina atau latar belakang.
“Statistik menunjukkan ia merupakan punca kematian keempat tertinggi daripada kalangan penyakit berbahaya, dengan kira-kira 400 kes strok dicatatkan setiap tahun.
“Adalah penting untuk mengetahui risiko dan gejala serangan strok di mana ianya boleh menyebabkan kerosakan saraf otak yang berpanjangan, hilang ingatan sepanjang hayat, malah boleh mengakibatkan kematian.”
Perkara ini ditegaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamed semasa melancarkan Kempen Hari Strok Sedunia 2024 pada acara Walkaton Hari Strok Sedunia 2024 yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan Kempen Hari Strok Sedunia adalah langkah yang berkesan untuk memupuk kesedaran tentang pentingnya kawalan dan pencegahan serangan strok dalam kalangan masyarakat Negara Brunei Darussalam.
“Kita disarankan untuk mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersukan, beriadah serta melakukan aktiviti fizikal dan mental yang dapat membantu mengekalkan kesihatan dan kekuatan yang dituntut oleh agama Islam,” tambah beliau.
Beliau turut menekankan bahawa kempen tersebut adalah selari dengan situasi Negara Brunei Darussalam yang berhadapan dengan kebimbangan terhadap fenomena serangan strok.
Yang Berhormat Dato seterusnya menegaskan setiap individu bertanggungjawab untuk bertindak bagi mencegah penyakit strok ini. Kerjasama daripada semua lapisan masyarakat amat diperlukan, termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, penerbit media, penyelidik, profesional dan pakar kesihatan, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.
“Masyarakat harus memainkan peranan aktif kerana intervensi awal adalah penting untuk mencegah serangan strok,” jelasnya.