PUTRAJAYA, 8 JAN – Ketua Hakim Negara Malaysia, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata beliau amat yakin badan kehakiman di bawah pimpinannya telah membuat keputusan yang betul dan tepat berdasarkan undang-undang dan fakta tanpa mengira kehangatan situasi politik yang menyelubungi beberapa kes yang didengar di mahkamah.
Dalam ucapan terakhirnya sebagai Ketua Hakim Negara pada majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025, Tengku Maimun berkata tempoh enam tahun pentadbirannya di bawah empat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kini Datuk Seri Anwar Ibrahim semuanya daripada gabungan politik berbeza.
“Dalam tempoh ini, panel kehakiman yang saya ketuai telah membuat keputusan yang kami yakin adalah betul berdasarkan undang-undang dan fakta tanpa mengira kehangatan politik yang menyelubungi beberapa kes.
“Kenyataan ini seharusnya menangkis sebarang tanggapan tidak berasas bahawa saya pernah memihak kepada mana-mana Perdana Menteri atau parti politik tertentu,” katanya.
Tengku Maimun berkata beliau telah memikul beban, imej dan tanggungjawab keseluruhan badan kehakiman selama hampir enam tahun, dan tidak akan iri hati terhadap individu yang akan menggantikan beliau kelak.
Tengku Maimun akan bersara wajib pada usia 66 tahun Julai ini, bagaimanapun beliau akan kekal dalam jawatan selama enam bulan lagi sekiranya Yang di-Pertuan Agong berkenan melanjutkan tempoh perkhidmatannya. – Bernama
