Monday, March 4, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Khasiat cendawan kubis bunga rawat penyakit berkaitan saraf

    KUALA LUMPUR – Berbanding cendawan tiram, shiitake, enoki dan butang, cendawan kubis bunga atau nama saintifiknya Hericium erinaceus mungkin tidak begitu dikenali di Malaysia.

    Turut dipanggil  lion’s mane mushroom dan cendawan kepala monyet, spesies fungus ini adalah organisma asal Amerika Utara, Eropah dan rantau Asia yang beriklim sejuk. Tumbuh di batang pokok yang telah mati atau kayu reput, cendawan ini mendapat nama daripada bentuknya yang seakan kubis bunga dengan rerambut halus di bahagian kepala dan berwarna putih.

    Jika sebelum ini sukar didapati di pasaran,  teknologi membolehkan cendawan kubis bunga ditanam di negara ini dan semakin ramai yang mula berbuat demikian, khususnya untuk tujuan masakan. 

    Akan tetapi, penyelidikan yang dijalankan oleh Universiti Malaya (UM) mendapati cendawan ini mempunyai pelbagai khasiat yang berpotensi merawat beberapa jenis penyakit, terutama berkaitan sistem saraf.
     
    RASA SEPERTI DAGING

    Dalam temu bual dengan Bernama, pakar penyelidik cendawan UM, Dr Phan Chia Wei berkata kajian bagi meneroka potensi cendawan itu telah dijalankan sejak 2007.

    Cendawan Kubis Bunga. – Gambar Amos Institute
    Cendawan Kubis Bunga digunakan dalam menu vegan sebagai pengganti daging. – Bernama
    Pakar penyelidik cendawan UM, Dr Phan Chia Wei. – Bernama
    Cendawan Kubis Bunga mempunyai pelbagai khasiat yang dapat merawat pelbagai jenis penyakit, terutama yang berkaitan sistem saraf. – Bernama

    “Cendawan ini semakin digemari oleh masyarakat kerana mempunyai tekstur seperti daging dan sering dimasak sebagai sate, rendang, kari dan sup. Malah, cendawan ini digunakan dalam menu vegan sebagai pengganti daging,” katanya.

    Phan yang juga pensyarah kanan di Fakulti Farmasi UM, berkata kajian mereka mendapati antara manfaat cendawan tersebut ialah sebagai makanan berfungsi yang boleh mencegah penyakit kehilangan struktur dan fungsi saraf, atau dengan kata lain kemerosotan sistem saraf.

    “Cendawan ini bagus untuk sistem saraf manusia kerana boleh merangsang pertumbuhan saraf atau nerve growth factor (NGF) dalam otak manusia.

    “NGF merupakan sejenis protein yang penting dalam pertumbuhan, pemeliharaan dan pembaik pulih neuron (sel-sel saraf) dalam sistem saraf manusia. NGF turut memainkan peranan dalam fungsi kognitif seperti pembelajaran dan (daya) ingatan,” katanya, menambah kekurangan NGF berisiko membawa masalah kesihatan saraf dan neuropati (gejala gangguan saraf).

    Mengulas lanjut, Phan berkata beliau dan pasukannya berjaya mengekstrak hericenones, iaitu sebatian kimia yang baik untuk kesihatan otak dan saraf manusia, daripada cendawan itu, sekali gus membuka potensi rawatan penyakit berkaitan sistem saraf seperti demensia (gejala berkaitan daya ingatan dan pemikiran seperti Alzheimer dan nyanyuk serta strok.

    Selain membantu menguatkan otot, gerak balas motor dan fungsi kognitif, hericenones juga bersifat antiradang yang boleh membantu mengurangkan keradangan dalam badan.

    “Keradangan berpanjangan boleh menyebabkan seseorang itu mengalami penyakit kronik termasuk ulser perut.

    “Beberapa penyelidikan praklinikal (ke atas sel dan haiwan) turut menunjukkan cendawan kubis bunga mengandungi sebatian yang mempunyai aktiviti antitumor dan antikanser.

    “Namun, perlu diingatkan bahawa kajian ini masih di peringkat awal dan lebih banyak penyelidikan pada manusia diperlukan untuk mengesahkan kesan ini,” katanya.

    MAKANAN TAMBAHAN

    Phan berkata ekstrak cendawan itu juga boleh dijadikan sebagai makanan tambahan bagi menyokong diet sihat dan sesuai untuk mereka yang menjalani gaya hidup aktif.

    “Secara umumnya, cendawan ini dianggap selamat untuk digunakan dalam makanan dan sebagai suplemen. Namun, seperti herba, beberapa individu mungkin mempunyai kesan tindak balas yang berbeza terhadap cendawan jenis ini, bergantung pada pelbagai faktor termasuk dos dan keadaan kesihatan mereka.

    “Sebagai contoh, pengambilan ekstrak cendawan ini boleh mempengaruhi penyerapan ubat-ubatan dalam badan. Jika individu itu mengambil ubat-ubatan tertentu, adalah penting untuk dia berbincang dengan doktor atau ahli farmasi tentang risiko interaksi ubat yang mereka ambil sebelum mengamalkan suplemen daripada ekstrak cendawan ini,” katanya.

    Beliau turut mengingatkan orang ramai yang bercadang mengamalkan pengambilan ekstrak cendawan kubis bunga sebagai makanan tambahan agar mendapatkan produk berkualiti daripada sumber yang dipercayai.

    Tentang kajian yang dilakukan oleh beliau dan pasukannya, Phan yang berterima kasih kepada kerajaan atas geran yang diberikan, berkata UM akan bekerjasama dengan penyelidik kesihatan, pakar perubatan dan saintis pemakanan bagi menjalankan ujian klinikal terhadap potensi fungus berkenaan.

    Berkenaan penanaman cendawan itu pula, beliau berkata mereka yang berhasrat mengusahakan tanaman tersebut perlu mempelajari teknik yang betul agar cendawan yang dihasilkan berkualiti tinggi.

    “Kita akan memperkukuhkan pendidikan dan kesedaran berhubung potensi dan manfaat Hericium erinaceus dalam kalangan petani, penyelidik serta pengguna sebagai usaha memperluaskan lagi penggunaannya,” kata beliau.

    Menurut Phan, setakat ini ada pihak yang mengusahakan tanaman cendawan itu secara meluas menggunakan kaedah bongkah. 

    “Keenakan rasanya membuatkan permintaan terhadap cendawan ini semakin meningkat.

    “Untuk pembiakan Hericium erinaceus secara komersial, boleh digunakan teknik solid-state fermentation (melibatkan substrat pepejal dan mempunyai tahap kelembapan sangat rendah) dan menggunakan substrat seperti serbuk kayu getah atau jerami yang dicampur dengan biji benih cendawan.

    “Kemudian masukkan campuran ini ke dalam bekas yang sesuai seperti beg plastik tahan panas bertujuan menjaga kelembapan dan pastikan suhu yang sesuai.

    Pertumbuhan cendawan ini bergantung pada semua faktor ini dan boleh mengambil masa berminggu atau berbulan,” ujarnya, menambah cendawan itu memerlukan suhu antara 18 dan 24 darjah Celsius. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Filipina gesa jiran berdiri bersama lebih teguh di Laut China Selatan

    MELBOURNE, 4 MAC - Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Enrique Manalo menggesa jiran serantau hari ini supaya berdiri bersama lebih teguh dalam menegakkan kedaulatan...