Tuesday, April 29, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Khazanah laut berusia 800 tahun dijumpai di Laut Merah

    RIYADH, 28 APRIL – Red Sea Global (RSG) kelmarin mengumumkan penemuan penting sebuah koloni terumbu karang gergasi spesies Pavona di perairan AMAALA, pesisir barat laut Arab Saudi, lapor Saudi Press Agency (SPA).

    Ia hampir menyamai saiz pemegang rekod dunia semasa yang berukuran 32 x 34 meter, ditemukan di Lautan Pasifik dan kini diiktiraf sebagai koloni karang terbesar seumpamanya yang pernah direkodkan di Laut Merah.

    Dalam satu kenyataan media, RSG mendedahkan keajaiban semula jadi itu berpotensi menjadi tarikan utama pelancong ke AMAALA menerusi aktiviti selam, menawarkan pengalaman unik dan tidak dapat dilupakan.

    Akses ke lokasi itu akan dibenarkan kepada para pelawat selaras dengan prinsip pelancongan bertanggungjawab RSG, bagi memastikan impak terhadap ekosistem marin diminimumkan sambil membolehkan pengunjung menikmati keindahan luar biasa dunia bawah laut.

    Koloni terumbu karang Pavona yang baru ditemui di Laut Merah, pada 27 April – Agensi

    Ketua Perlindungan Alam Sekitar dan Pemulihan RSG, Ahmed Alansari berkata penemuan karang sebesar itu menunjukkan betapa pentingnya nilai ekologi dan keindahan semula jadi Laut Merah.

    “Di RSG, kami percaya perlindungan terumbu karang adalah sangat penting. Karang gergasi seperti ini berfungsi sebagai kapsul masa, memberikan maklumat penting untuk menjejaki perubahan oseanografi masa lalu, yang seterusnya membantu kita memodelkan tindak balas terhadap perubahan alam sekitar pada masa depan,” katanya.

    Beliau juga berkata memahami bagaimana koloni karang itu mampu bertahan begitu lama adalah penting untuk melindungi terumbu karang lain di Laut Merah dan mungkin di seluruh dunia demi generasi akan datang.

    Kenyataan itu turut menyebut bahawa menentukan usia sebenar karang gergasi ini adalah mencabar kerana teknik penentuan usia yang tepat bersifat invasif, selain ketiadaan data kadar pertumbuhan spesies terbabit di Laut Merah.

    Namun, anggaran berdasarkan saiz koloni, kadar pertumbuhan spesies serupa di Lautan Pasifik serta hasil pemetaan fotogrametri menunjukkan ia berusia antara 400 hingga 800 tahun. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda