Tuesday, October 22, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEDN adakan majlis korban

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya, turut tidak ketinggalan dalam mengadakan Majlis Ibadah Korban Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi bertempat di Dewan Serba guna, Tingkat 6, KHEDN, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, sekali gus menyempurnakan agihan daging-daging korban kepada yang berhak menerimanya dari kalangan warga KHEDN dan
    jabatan-jabatan di bawahnya.

    Pada tahun ini, seekor kerbau telah dikorbankan. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum diserikan dengan tazkirah bertajuk Kemanisan dalam Pengorbanan yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang, selaku penceramah jemputan.

    Bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan dibacakan bagi mengakhiri majlis.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, dan kakitangan KHEDN serta jabatan-jabatan di bawahnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyampaikan daging korban kepada salah seorang penerima pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN BANDARAN BANDAR SERI BEGAWAN, KHEDN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda