Sunday, November 24, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kilang mercun meletup, 23 maut

    BANGKOK, 17 JAN – Kira-kira 23 orang maut selepas letupan di sebuah kilang mercun di tengah Thailand hari ini, kata gabenor wilayah itu.

    Imej yang dikongsikan oleh perkhidmatan penyelamat tempatan menunjukkan serpihan logam bertaburan di atas tanah dan kepulan asap hitam tebal.

    Letupan berlaku kira-kira jam 3 petang (waktu tempatan) berhampiran perbandaran Sala Khao, di tengah wilayah Suphan Buri.

    “Kami menerima laporan daripada pasukan EOD terdapat 23 disahkan maut,” kata Nattapat Suwanprateep, gabenor wilayah Suphan Buri, kepada AFP, merujuk kepada kumpulan Pelupusan Ordinan Letupan.

    Tiada apa-apa tanda yang menunjukkan punca berlakunya letupan itu.

    Kepulan asap kelihatan selepas letupan di sebuah kilang mercun berhampiran perbandaran Sala Khao di wilayah Suphan Buri, Thailand. – AFP

    Bagaimanapun, Nattapat berkata pegawai sedang menyiasat punca yang mungkin menyebabkan kejadian itu.

    “Kilang itu beroperasi secara sah dengan lesen yang sah,” katanya.

    Pegawai polis berkata kawasan sekitar tidak mengalami kerosakan.

    “Tingkap kaca pada sebuah rumah telah pecah oleh letupan tetapi tiada laporan lain,” kata Nattapat.

    Leftenan Jeneral Polis, Naiyawat Phademchid memberitahu AFP Perdana Menteri, Srettha Thavisin – kini berada di Switzerland untuk Forum Ekonomi Dunia – telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

    “Anggaran 20 kematian, bagaimanapun, kami tidak dapat mengesahkan angka kematian rasmi,” kata pegawai polis itu, yang bertanggungjawab di kawasan barat bawah Thailand. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda