Sunday, December 29, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kim Jong Un tegaskan tidak akan jumpa Trump

    WASHINGTON, 28 NOV – Presiden Terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mahu bertemu dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un untuk meredakan ketegangan di Korea. Bagaimanapun, Kim menimbulkan keraguan terhadap kemungkinan pertemuan itu berlaku, menurut laporan United Press International (UPI).

    Trump dan Kim sebelum ini saling bertukar surat yang bersifat mesra, tetapi Kim tidak mengendahkan Presiden Joe Biden sepanjang tempoh pentadbiran Biden.

    Beberapa penasihat Trump berpendapat presiden terpilih itu mempunyai peluang lebih baik untuk mengadakan perbincangan bermakna dengan Kim selepas memegang jawatan pada Januari.

    Randall Schriver, bekas penasihat kanan pertahanan kepada Trump, dalam satu acara di Hudson Institute bagaimanapun berkata tiada garis masa ditetapkan untuk kemungkinan rundingan antara Trump dan Kim. Trump percaya kedua-dua pemimpin itu hampir memuktamadkan perjanjian yang boleh memastikan keamanan di Korea semasa penggal pertamanya sebagai presiden.

    Trump dan Kim pernah bertemu pada 2018 di Singapura dalam pertemuan pertama antara pemimpin Amerika Syarikat dan Korea Utara. Mereka bertemu sekali lagi pada tahun berikutnya di Hanoi, Vietnam, dan di Zon Bebas Tentera yang memisahkan Korea Utara dan Korea Selatan, tetapi tidak berjaya meletakkan asas untuk perjanjian damai.

    Korea Utara terus membangunkan teknologi peluru berpandu jarak jauh yang mungkin suatu hari nanti  membolehkan negara itu menyasarkan Korea Selatan, Jepun dan AS dengan kepala peledak nuklear jika ia menjadi sebuah negara nuklear.

    Kim berkata beliau tidak melihat sebab untuk bertemu dengan Trump, sambil menambah bahawa AS mempunyai “dasar agresif dan bermusuhan yang tidak berubah” terhadap Korea Utara.

    UPI melaporkan Kim Jumaat lalu dengan menyatakan beliau akan terus membangunkan teknologi nuklear dan peluru berpandu yang mampu menghantar kepala peledak nuklear terhadap musuh Korea Utara.

    “AS, Jepun dan Korea Selatan tidak akan terlepas daripada tanggungjawab sebagai dalang yang merosakkan keamanan dan kestabilan Semenanjung Korea dan rantau ini,” kata Kim kepada pemimpin tentera Korea Utara.

    “Tugas paling penting dan kritikal bagi angkatan bersenjata kita ialah persediaan untuk berperang,” tambahnya.

    Korea Utara melancarkan 45 ujian peluru berpandu tahun ini, termasuk peluru berpandu balistik antara benua yang dilancarkan pada 31 Oktober dan mencapai jarak sejauh 997 kilometer. – Bernama

    Kim Jong Un berucap semasa majlis perasmian pameran pertahanan di Pyongyang, Korea Utara, pada 21 November.Kim Joun Un tidak akan bertemu Trump. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda