TOKYO, 16 JAN – Petinju Korea Selatan, Kim Ye-joon yakin dia mampu memberikan kejutan kepada Naoya Inoue dari Jepun yang tidak pernah kalah dalam pertarungan gelaran dunia super-bantamweight minggu depan walaupun hanya mempunyai masa dua minggu untuk bersiap sedia bagi menghadapi pertarungan itu.
Kim telah dipilih minggu lalu sebagai pengganti pada saat akhir untuk menentang Inoue di Tokyo selepas pencabar asal juara itu, Sam Goodman, terpaksa menarik diri kerana kecederaan.
Walaupun Kim yang berusia 32 tahun diletakkan di ranking No. 11 oleh WBO dalam kategori super-bantamweight namun masih percaya dia boleh menewaskan ‘Monster’ Inoue pada 24 Januari nanti.
“Saya tidak fikir Inoue pernah berdepan dengan petinju seperti saya sebelum ini,” kata Kim, kelmarin.
“Saya boleh bayangkan apa yang dia fikirkan sekarang tetapi saya ingin katakan jangkaannya terhadap saya adalah sama sekali tidak tepat.
“Saya rasa dia akan faham apa yang saya katakan apabila kami memasuki gelanggang dan berbalas tumbukan buat kali pertama,” tambahnya.
Kim menyertai pertarungan sebagai petinju bukan pilihan menentang Inoue, yang mempunyai rekod 28-0 dengan 25 knockout.
Petinju Jepun berusia 31 tahun itu dijangka akan mempertahankan gelaran super-bantamweight miliknya buat kali ketiga sejak menjadi juara pada Disember 2023. – AFP