Sunday, October 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KKM: 11,783 outlet makanan diiktiraf BeSS

    TAWAU, 7 JULAI – Sebanyak 11,783 outlet makanan di negara ini menerima pengiktirafan premis bersih serta selamat (BeSS) dan tiga lagi premis di kawasan Kubota di sini dianugerahkan pengiktirafan sama pada program tinjauan mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

    BeSS merupakan pengiktirafan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada premis yang telah diperiksa dan didapati bersih serta memenuhi pelbagai kriteria tertentu.

    Dalam hantaran di laman Facebook hari ini, KKM berkata Program BeBAs melibatkan kerjasama di antara pengusaha premis makan dengan pelbagai agensi kerajaan, agensi swasta, rakan sukarelawan, badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO).

    Program itu menitikberatkan konsep pemerkasaan masyarakat dalam memastikan peraturan kebersihan makanan dan larangan merokok di premis makanan sentiasa dipatuhi.

    “Persekitaran yang bebas tanpa amalan merokok amat penting dalam mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat dan ia selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas tanpa sebarang bentuk amalan merokok pada tahun 2040,” menurut hantaran itu, pada hari ini. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda