Friday, September 20, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Koc tercabut punca Shinkansen berhenti kecemasan

    TOKYO, 19 SEPT – Sebuah kereta api laju Shinkansen terpaksa melakukan hentian kecemasan dalam perjalanannya dari timur laut Jepun ke Tokyo selepas beberapa kocnya tercabut, kata JR East, pengendali kereta api tersebut, hari ini.

    Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan. Agensi Berita Kyodo melaporkan bahawa kira-kira 320 orang berada di dalam kereta api yang beroperasi di Laluan Shinkansen Tohoku apabila ia berhenti di antara stesen Furukawa dan Sendai di Prefektur Miyagi pada jam 8:10 pagi.

    Pemisahan berlaku antara koc Shinkansen Tohoku dan koc Shinkansen Akita yang disambungkan kerana ia berkongsi sebahagian laluan yang sama.

    JR East berkata ia sedang mempertimbangkan untuk meminta penumpang berjalan ke stesen terdekat. Walaupun kereta api itu berhenti, sistem penyaman udara masih berfungsi dengan baik.

    Koc kereta api Shinkansen Tohoku dan Akita disambungkan di stesen Morioka dan sedang menuju ke Tokyo apabila ia terpisah.

    Tiada koc yang tergelincir, kata pengendali kereta api itu. JR East telah menghentikan semua perkhidmatan kereta api laju antara Tokyo dan Shin-Aomori di Prefektur Aomori untuk pemeriksaan. – Bernama

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda