Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Kolaborasi antara sektor awam dan swasta dalam menyokong perjalanan sifar bersih dan kemampanan adalah amat penting.
Pada masa yang sama, kluster perindustrian memainkan peranan kritikal dalam hala tuju ke arah sifar bersih, tekan Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dan Shell Country Chair di Negara Brunei Darussalam, Agnete Johnsgaard-Lewis dalam kata alu-aluannya pada Bengkel Progressing Industrial Collaboration towards a Net-Zero Cluster Concept yang berlangsung di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei, hari ini.
Hadir selaku tetamu ke-hormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Wawasan) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad: Pemangku Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra serta Ketua Peralihan Tenaga di BSP, Shirley Sikun.
Agnete Johnsgaard-Lewis dalam kata alu-aluannya lagi berkata bahawa kolaborasi merupakan asas bagi membuka pelaburan mampan dalam penyelesaian peralihan tenaga di mana Brunei boleh memperoleh manfaat dalam tiga cara iaitu membina sebuah ekosistem bersama dengan teknologi penyahkarbonan dan bakat operasi dalam kluster, menyelaraskan kolaborasi dengan pihak kerajaan dan pemain-pemain industri serta memudahkan pembangunan infrastruktur dan pelaburan kapital yang berpotensi.
Dalam hubungan itu, beliau percaya bahawa bengkel berkenaan akan menyediakan ruang bagi dialog lanjut antara sektor awam dan swasta mengenai bagaimana mereka boleh bekerjasama bagi memajukan penyahkarbonan perindustrian serta bergerak maju dalam peralihan tenaga secara kolektif.
Sementara itu, Shirley Sikun menyatakan bahawa dalam bengkel itu, mereka memanfaatkan pelbagai pandangan dan pengalaman daripada para peserta bengkel untuk menjana bersama prospek sebuah kluster perindustrian rendah karbon di Brunei.
Beliau menyatakan bahawa mereka menggunakan lensa kerjasama, dasar, pembiayaan dan teknologi sebagai pertimbangan utama bagi perjalanan Brunei ke arah sifar bersih.
Sebagai seorang warga Brunei, ulas beliau, memberi inspirasi kepadanya untuk melihat rasa tanggungjawab bersama di serata agensi dan sektor bagi menyokong matlamat pembangunan mampan dan penyahkarbonan Brunei.
Bengkel sehari anjuran BSP itu dikendalikan oleh kumpulan perunding Accenture, di mana ia mengumpulkan wakil daripada agensi-agensi kerajaan dan juga pemain-pemain industri bagi membincangkan serta mengenal pasti peluang-peluang ke arah sebuah Konsep Kluster Perindustrian Sifar Bersih.
Peralihan kepada sebuah kluster perindustrian sifar bersih merupakan sebuah inisiatif global oleh Forum Ekonomi Dunia, Accenture dan Electric Power Research Institute yang dilancarkan semasa COP26 untuk menyokong kluster perindustrian dalam laluan mereka ke arah sifar bersih sambil mengenal pasti dan memaksimumkan daya saing ekonominya.