Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Bagi mempertingkatkan lagi langkah-langkah pencegahan jenayah, Program Pengawasan Kejiranan (PK) semakin giat dijalankan di beberapa kawasan di negara ini. Bersempena Hari Raya Aidilfitri, Balai Polis Berakas mengambil kesempatan berkunjung ke rumah Ketua Kampung Sungai Akar, Haji Ramlee bin Haji Mohd Zin dan Pemangku Ketua Kampung Sungai Hanching, Haji Abdul Rahman bin Safar, kelmarin.
Mengetuai kunjungan berkenaan ialah Pegawai Menguasa Balai Polis Berakas, Penolong Penguasa Polis (ASP) Muhd Nurfairuz Nazri bin Salleh.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon selaku penghulu Mukim Berakas ‘B’.
Sementara itu, Balai Polis Belait juga tidak ketinggalan membuat pendekatan ke rumah Ketua Kampung Mumong, Haji Yusof bin Dulamin.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Focal Point Balai Polis Kuala Belait, Koperal 3028 Mohd Jin bin Roseta bersama anggota Balai Polis Kuala Belait.
Di Daerah Temburong, Balai Polis Bangar yang diketuai oleh Lans Koperal 5398 Zainuddin bin Marsal bersama ahli focal point berkunjung ke rumah Ketua Kampung Belais, Haji Ahmad @Jibma bin Mohd Hussin uang juga selaku pengerusi PK kampung berkenaan.
Pendekatan diadakan untuk berkongsi maklumat mengenai kejadian-kejadian jenayah terkini yang telah dilaporkan dan peringatan mengenai langkah-langkah mencegah jenayah sepanjang Hari Raya Ini di samping bertukar-tukar pendapat bagi meningkatkan keselamatan di sekitar kampung berkenaan. Pendekatan seperti ini diharap akan diteruskan bagi mewujudkan jalinan kerjasama antara Pasukan Polis Diraja Brunei bersama para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dan ahli-ahli PK.