Friday, November 22, 2024
32.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kongsi pengalaman mengerjakan ibadah umrah

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    Pengalaman menunaikan ibadah umrah dapat menjadi satu pengalaman yang terindah dan tidak terlupakan dalam hidup seseorang yang dapat meninggalkan kesan mendalam.

    Penulis Media Permata mengongsikan pengalamannya dalam menunaikan ibadah umrah buat pertama kali dalam hidupnya.

    Pada 9 November lalu, Allah SWT permudahkan perjalanan umrah penulis bersama rombongan keluarga yang mengikuti penerbangan terus dari Brunei ke Jeddah.

    Pengalaman penulis mengikuti umrah melalui salah sebuah agensi tempatan ini adalah sangat-sangat memuaskan.

    Dengan pengalaman yang tidak seberapa, penulis ingin menyarankan para jemaah khususnya mereka yang baru pertama kali ingin melaksanakan ibadah umrah disarankan untuk mempersiapkan diri secara mental dan fizikal dengan memahami erti ibadah umrah, serta mempelajari doa-doa dan tata cara pelaksanaan.

    Para jemaah semasa melaksanakan saie yang bermula dari Bukit Safa ke Bukit Marwah sebanyak tujuh kali. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Rombongan jemaah umrah menyaksikan tayangan video yang dipamerkan di Muzium Yahyu. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Rombongan jemaah umrah bergambar di hadapan Muzium Wahyu. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Pelbagai barangan tempatan yang dijual di Jabal Rhmah. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    MENUNAIKAN UMRAH

    Apabila tiba waktu untuk mengerjakan umrah, momen yang paling indah adalah ketika para jemaah disambut oleh pemandangan megah Kaabah yang memberikan rasa damai dan keberkahan yang luar biasa. Melihat Kaabah buat pertama kalinya adalah momen yang tidak dilupakan yang mengisi hati dengan perasaan hormat dan ketaatan kepada Allah SWT.

    Sebaik sahaja penulis dan rombongan jemaah memasuki baitullah, para jemaah langsung memulakan rukun umrah yang pertama iaitu tawaf. Tawaf iaitu berjalan mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh putaran sambil berdoa merupakan momen yang sangat mengharukan, kita dapat merasakan bahawa kita dekat dengan Allah saat berada di depan rumahNya yang mana setiap putaran tawaf dapat memperdalam rasa syukur dan kerendahan hati.

    Seterusnya antara momen yang paling sayu ialah apabila berada di depan Hajarul Aswad.

    Penulis dan rombongan jemaah dapat merasakan ketenangan saat berdoa di dekatnya dan berusaha untuk menciumnya, meskipun ia sangat sukar untuk dicapai di-sebabkan ramai jemaah berebut-rebut untuk menyentuhnya.

    Selesai sahaja melaksanakan tawaf, jemaah kemudiannya akan melaksanakan Saie iaitu berjalan berulang-alik sebanyak tujuh kali antara bukit Safa dan Marwah, sebaik sahaja mengerjakan saie para jemaah seterusnya mengerjakan tahalul (bercukur rambut) yang mana tahalul merupakan keadaan seseorang yang telah dihalalkan melakukan perbuatan yang sebelum dilarang semasa ihram dan diakhiri dengan tertib.

    LAWATAN KE JABAL RAHMAH

    Lawatan ke Jabal Rahmah di Arafah merupakan pengalaman spiritual yang penuh makna, terutama bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji atau umrah. Jabal Rahmah terletak di Arafah, sekitar 20 kilometer dari Mekah, dan merupakan salah satu tempat yang penting dalam sejarah Islam.

    Ketika berada di Jabal Rahmah penulis Media Permata diberitahu bahawa Jabal Rahmah dikenali sebagai tempat di mana Nabi Adam AS dan Hawa bertemu semula setelah diturunkan ke bumi. Nama ‘Rahmah’ sendiri bermaksud rahmat atau kasih sayang, yang melambangkan kasih sayang Allah SWT yang melimpah kepada kedua-duanya. Pada masa kini, ia menjadi tempat yang dikunjungi oleh ramai jemaah haji dan umrah untuk berdoa, memohon keampunan, dan mengharapkan rahmat daripada Allah SWT.

    Selain itu, Jabal Rahmah juga merupakan salah satu kawasan yang selalu dikaitkan dengan perhimpunan umat Islam semasa wukuf di Arafah, yang berlaku pada hari ke-9 Zulhijah.

    Walaupun wukuf biasanya dilakukan di Padang Arafah, Jabal Rahmah tetap menjadi simbol penting bagi peristiwa tersebut.

    LAWATAN KE MUZIUM WAHYU

    Selepas lawatan ke Jabal Rahmah, penulis serta rombongan meneruskan lawatan ke Muzium Wahyu. Muzium ini mempamerkan sejarah dan warisan wahyu yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW, serta perjalanan penyebaran Islam. Ia memberikan pengunjung peluang untuk mendalami konteks sejarah, budaya, dan spiritual yang berkaitan dengan wahyu-wahyu yang diturunkan melalui Al-Quran.

    Antara pameran yang terdapat di Muzium Wahyu ini termasuklah manuskrip Al-Quran yang bersejarah, artifak keagamaan, alat penulisan kuno dan replika tempat-tempat penting dalam sejarah Islam.

    Muzium itu juga mengetengahkan kisah-kisah penting mengenai wahyu yang pertama kali diterima oleh Nabi Muhammad SAW di Gua Hira di Mekah, serta peristiwa-peristiwa lain yang berkaitan dengan wahyu sepanjang hidup baginda.

    Salah satu pameran yang penting di muzium ini adalah manuskrip Al-Quran yang berusia ratusan tahun. Ini termasuk naskhah Al-Quran yang ditulis tangan dan salinan awal Al-Quran yang diterima dan disalin oleh para sahabat Nabi MuhammadSAW.

    Pandangan penulis ketika mengunjungi muzium berkenaan, ia adalah satu cara untuk memahami dengan lebih mendalam dan signifikan mengenai wahyu dalam membentuk ajaran Islam dan kehidupan umat Islam di seluruh dunia.

    Ia bukan sahaja sebuah destinasi budaya dan sejarah, tetapi juga tempat yang memberikan pengalaman spiritual yang mendalam bagi para pengunjung, khususnya mereka yang mengunjungi Mekah untuk menunaikan ibadah haji atau umrah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda