Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Sebanyak 97 buah kenderaan mengambil bahagian dalam Konvoi Gabungan Bersepadu Sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 yang bermula di Taman Jubli Perak, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
Acara konvoi yang dianjurkan oleh Kelab Nissan Terra Brunei (BNT) bersama gabungan Mercedes Benz Club Brunei (MBCB), Independent Bimmer Team (IBT), Brunei Alphard Vellfire Ethusiasts (BRAVE) dan Kelab Fortuner Brunei (BFC) telah disokong oleh Boustead Sdn Bhd dan Jerudong Park & Country Club itu bermatlamat untuk memeriahkan lagi acara sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan, mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli kelab serta menanamkan semangat patriotisme dalam kalangan para peserta.
Hadir untuk menyempurnakan pelepasan para peserta konvoi pada acara berkenaan ialah Pengurusan Jualan Nissan, Boustead Sdn Bhd, Dayang Roslyanti binti Haji Rosli.
Dalam acara konvoi berkenaan, para peserta memulakan perjalanan dari Taman Jubli Perak mengelilingi Bandar Seri Begawan dan seterusnya menuju ke tempat letak kereta di Jerudong Park serta membuat formasi HK-40 menggunakan kenderaan.