Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Korea Selatan pertaruh K-pop bida Ekspo Dunia 2030

    Oleh Nabilah Saleh

    KUALA LUMPUR – Umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Kelesuan mental dan fizikal penulis akibat COVID yang dialami sejak sekian lama, seakan lenyap seketika apabila diberitahu terpilih mengikuti lawatan media ke Korea Selatan, baru-baru ini.

    Lebih-lebih lagi, program anjuran Kedutaan Korea Selatan ke Malaysia itu turut merangkumi konsert kumpulan K-Pop sensasi global kegemaran penulis iaitu BTS, selain melawat bandar raya Seoul dan kota pelabuhan, Busan.

    Lawatan enam hari bermula 12 Oktober itu bertujuan memperkenalkan Korea Selatan kepada masyarakat Malaysia dalam usaha negara tersebut membida penganjuran Ekspo Dunia 2030 – pameran terbesar dunia yang diselaraskan oleh Bureau International des Expositions (BIE), berpangkalan di Perancis. Bermodalkan kuasa lunak Gelombang Korea, ia mempertaruhkan BTS sebagai duta kehormat ekspo itu bagi meningkatkan peluang dipilih sebagai negara tuan rumah pameran yang turut didamba oleh Itali dan Arab Saudi.

    Menawarkan pulangan ekonomi bernilai 61 trilion won atau AS$42.5 bilion, tidak hairanlah Korea Selatan bersedia menggunakan sehabisnya kuasa lunak K-Pop, K-Drama dan K-Filem yang terbukti cukup berkuasa dalam mempengaruhi komuniti antarabangsa, dan penulis juga tidak terkecuali.

    Era Joseon di tengah pencakar langit

    Misalnya, ketika berada di Istana Gyeongbokgung di utara bandar raya Seoul – antara lokasi yang dilawati penulis dan rakan media dari stesen televisyen Media Prima, TV3, penulis bagaikan berada dalam babak K-Drama popular yang pernah ditonton sebelum ini. Masakan tidak, ia yang merupakan istana utama semasa Dinasti Joseon, antara lokasi penggambaran drama-drama Korea yang mengetengahkan genre sejarah.

    Selepas tiga hari di Seoul, kami dibawa ke Busan, bandar raya pelabuhan terbesar Korea Selatan dan lokasi yang diusul sebagai hos Ekspo Dunia 2030, sejajar dengan statusnya selaku pusat ekonomi negara itu. – Bernama
    Bagi penulis yang baru dua tahun mengenali kumpulan tujuh anak muda tersebut, pengalaman menyaksikan persembahan secara langsung mereka bagaikan satu mimpi. Apatah lagi ia berlangsung di tanah air mereka di hadapan kira-kira 50,000 orang peminat yang memenuhi Stadium Utama Asiad. – Bernama
    Ketua Strategi dan Perancangan, Jawatankuasa Bidaan Ekspo Dunia 2030 Busan, Jung Hong-gon. – Bernama
    Pengarah bahagian ekspo, Majlis Metropolitan Busan, Lee Seung-woo. – Bernama
    Dr Nurliana Kamaruddin berkata Korea Selatan ternyata memanfaatkan kelebihan budaya pop sebaik mungkin dalam bidaan Ekspo Dunia. – Agensi
    Bagi pelajar sekolah menengah dari Seoul,  Lee Yuna dan Kim Min Gyeong, mereka berbangga dengan sikap patriotik BTS yang bersedia mengadakan persembahan secara percuma demi mempromosikan Busan sebagai lokasi terbaik Ekspo Dunia 2030. – Bernama

    Secara peribadi, penulis sebenarnya agak kagum dengan perancangan bandar raya itu, kerana di sebalik kewujudan pencakar langit – rata-rata dimiliki oleh gergasi korporat Korea Selatan, antaranya Lotte, Samsung, SK group, Hyundai Motor dan Hanwha Group – binaan lama dari era terdahulu masih utuh terpelihara dan menjadi tarikan pelancong.  

    Bukan itu sahaja, Seoul juga bermegah dengan populariti Sungai Han. Selain terkenal sebagai tempat ‘bermadu kasih’ atau ‘berbincang komplot’ dalam drama dan filem Korea, sungai itu juga lokasi riadah yang menawarkan pemandangan indah, khususnya pada sebelah malam. Bagi yang ingin menikmati keindahan senja, ada perkhidmatan Han River Cruise yang membawa penumpang menyusuri sungai itu. 

    BTS dan Busan

    Selepas tiga hari di Seoul, kami dibawa ke Busan, bandar raya pelabuhan terbesar Korea Selatan dan lokasi yang diusul sebagai hos Ekspo Dunia 2030, sejajar dengan statusnya selaku pusat ekonomi negara itu.

    Busan, atau nama asalnya Pusan, juga tidak asing bagi penulis. Nama kota raya itu gah melalui filem zombi, ‘Train to Busan’ yang mencetuskan fenomena tersendiri dalam kalangan peminat K-Filem di seluruh dunia pada 2016. Seperti Seoul, Busan juga metropolitan moden yang masih mengekalkan elemen-elemen dari era pemerintahan dinasti Korea.

    Sekiranya ada yang bercadang melawat metropolitan ini, jangan lupa ke Gamcheon-dong.

    Daerah ini menawarkan keindahan pemandangan laut dari atas bukit, di samping rumah-rumah lama yang bertingkat dan berwarna-warni. Menurut Majlis Metropolitan Busan iaitu pihak berkuasa tempatannya, kawasan itu adalah antara tarikan pelancong yang terkenal di bandar raya berkenaan.

    Namun, yang membuatkan penulis begitu teruja semasa di Busan ialah konsert BTS, ‘Yet to Come in Busan’, iaitu konsert percuma ikon K-Pop itu sebagai sokongan mereka kepada usaha kerajaan membida Ekspo Dunia 2030.

    Bagi penulis yang baru dua tahun mengenali kumpulan tujuh anak muda tersebut, pengalaman menyaksikan persembahan secara langsung mereka bagaikan satu mimpi. Apatah lagi ia berlangsung di tanah air mereka di hadapan kira-kira 50,000 orang peminat yang memenuhi Stadium Utama Asiad.    

    Di sebalik kehadiran puluhan ribu peminat dari pelbagai negara, penulis berasa kagum dengan ketertiban penonton dalam mematuhi arahan, baik semasa memasuki stadium ataupun ketika menonton persembahan hebat kumpulan tersohor itu. Bukan itu sahaja, tempat duduk khas disediakan bagi golongan kurang upaya. Nyata, perincian penganjuran konsert tersebut mempamerkan profesionalisme rakyat dan pihak pentadbir Busan.

    Seorang peminat tegar BTS yang sempat ditemu bual penulis, Bak Mi Jeong, menyifatkan konsert itu memberikan aura positif tentang kemampuan Busan menganjurkan ekspo terbesar dunia berkenaan.

    “BTS memainkan peranan besar dalam menyebarkan berita mengenai Busan. Saya optimis jika Busan menganjurkan Ekspo Dunia pada 2030, ia akan memberi banyak manfaat ekonomi kepada negara, contohnya dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada lebih ramai orang di sini,” kata anak kelahiran Busan itu namun bekerja sebagai peng-analisis alam sekitar di Seoul.

    Bagi pelajar sekolah menengah dari Seoul, Lee Yuna dan Kim Min Gyeong, mereka berbangga dengan sikap patriotik BTS yang bersedia mengadakan persembahan secara percuma demi mempromosikan Busan sebagai lokasi terbaik Ekspo Dunia 2030.

    Kehebatan budaya pop Korea

    Berkongsi pendapat, Timbalan Pengarah Eksekutif (Akademik & Hal Ehwal Pelajar) Institut Asia-Eropah Universiti Malaya, Dr Nurliana Kamaruddin berkata Korea Selatan ternyata memanfaatkan kelebihan budaya pop sebaik mungkin dalam bidaan Ekspo Dunia.

    Menurutnya, berbanding dua lagi pesaing, Korea Selatan jelas ada kelebihan kerana budaya pop mereka dikenali dunia, selepas begitu pantas tersebar sejak lewat 2000-an.

    “Berdasarkan usaha mereka semasa membida acara-acara dunia sebelum ini, mereka pastinya akan berhabis-habisan memanfaatkan populariti budaya pop mereka,” ujarnya, dan menambah Korea Selatan juga menunjukkan penambahbaikan dari segi memenuhi keperluan pelawat asing, misalnya makanan.

    Korea Selatan pernah menjadi tuan rumah beberapa acara dunia, antaranya temasya Olimpik 1988, Olimpik Musim Sejuk pada 2018 dan penganjur bersama Piala Dunia FIFA pada 2002.

    Sesuai dengan populariti, pengaruh serta kemajuan pesat yang dicapai Korea Selatan hari ini, tidak mustahil Busan dapat memenangi hati juri dalam kalangan 170 negara anggota BIE termasuk Malaysia. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...