SEOUL, 27 MAC – Khazanah negara dan artifak budaya telah dipindahkan ke lokasi lebih selamat, susulan kebakaran hutan yang terus merebak ke kawasan tenggara Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.
Perkhidmatan Warisan Korea memaklumkan bahawa sehingga pukul 9 pagi kelmarin, sebanyak 15 buah artifak bersejarah, termasuk blok kayu percetakan dan lukisan Buddha, telah dipindahkan dari kuil utama seperti Kuil Bongjeong di Andong dan Kuil Buseok di Yeongju, kedua-duanya terletak di Wilayah Gyeongsang Utara.
Kuil-kuil itu merupakan sebahagian daripada tujuh biara Buddha yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori ‘Sansa, Biara Gunung Penganut Buddha di Korea.’
Daripada 15 artifak yang dipindahkan, 10 daripadanya diklasifikasikan sebagai khazanah negara, termasuk patung batu Buddha duduk dari Kuil Goun di Uiseong yang kini musnah, selain lima lagi item warisan budaya ketara.
Agensi kerajaan itu telah mengenal pasti lapan kes kerosakan akibat kebakaran setakat ini, namun penilaian lebih terperinci akan dijalankan.

Berdasarkan pemeriksaan di tapak awal hari ini, agensi itu mengesahkan bahawa dua buah khazanah, Dewan Yeongsu dan Pavilion Gaunru di Kuil Goun telah musnah sepenuhnya dalam kebakaran. Daripada 30 buah bangunan di kuil purba itu, hanya sembilan terselamat daripada dijilat api.
Menurut Perkhidmatan Warisan Korea, sehingga pukul 5 petang kelmarin, sebanyak 15 artifak warisan telah rosak akibat kebakaran, merangkumi 11 yang diiktiraf sebagai warisan negara dan empat lagi sebagai warisan perbandaran atau wilayah.
Kerosakan itu tertumpu di Uiseong, Andong dan Cheongsong, di bahagian utara Wilayah Gyeongsang Utara, kawasan yang paling teruk terjejas akibat kebakaran.
Sebagai langkah perlindungan, beberapa buah artifak telah dilitupi tarpal kalis api, termasuk Geungnakjeon di dalam Kuil Bongjeong, yang dipercayai bangunan kayu tertua di Korea Selatan.
Pihak berkuasa turut bersiap siaga bagi kemungkinan kerosakan terhadap dua Tapak Warisan Dunia UNESCO, Kampung Hahoe dan Byeongsan Seowon yang terletak di Andong, memandangkan kebakaran semakin menghampiri kawasan itu. – Bernama