SEOUL, 26 JAN – Korea Utara melakukan ujian peluru berpandu strategik laut ke darat, lapor agensi berita negara KCNA hari ini, dengan menyebut ujian persenjataan kena ‘tepat’ pada sasarannya.
“Cara pencegahan perang angkatan tentera DPRK sedang disempurnakan dengan lebih teliti,” kata pemimpin negara itu, Kim Jong-un, sewaktu menyaksikan ujian terbabit semalam, menurut laporan KCNA.
Peluru berpandu berkenaan mengenai tepat pada sasaran selepas mengorbit sejauh 1,500 kilometer (km) dan dilaporkan ‘tiada kesan negatif terhadap keselamatan negara-negara jiran’.
KCNA bagaimanapun tidak menyatakan lokasi ujian itu dilakukan.
Ujian senjata oleh Pyongyang itu adalah yang pertama sejak Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kembali ke Rumah Putih pada Isnin lalu.
Sebelum itu, Korea Utara sudah melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat darat ke laut dan laut ke darat.
Trump, yang pernah mengadakan siri pertemuan dengan Jong-un semasa penggal pertamanya, dalam satu temu bual yang disiarkan pada Khamis lalu, mendakwa beliau akan cuba menghubunginya sekali lagi, malah menyebut pemimpin Korea Utara itu sebagai seorang yang ‘pintar’.
Hubungan antara Pyongyang dan Seoul berada pada tahap terendah sejak beberapa tahun ini, dengan Korea Utara melancarkan pelbagai peluru berpandu balistik tahun lalu, yang melanggar beberapa sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Hari ini, KCNA menyiarkan kenyataan dari kementerian luar Korea Utara yang mengkritik Washington dan Seoul kerana menjalankan latihan ketenteraan bersama sejak beberapa hari kebelakangan ini. – AFP