Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Krisis di perairan SCS terus berlaku

    MANILA, 18 FEB – Filipina kelmarin menuduh kapal pengawal pantai China melakukan gerakan ‘berbahaya’ selepas mereka berulang kali menghalang kapal yang menghantar bekalan kepada nelayan Filipina di terumbu di luar pantai negara Asia Tenggara itu.

    Insiden itu berlaku berhampiran Scarborough Shoal yang dikawal China pada Khamis dan Jumaat lalu, beberapa hari selepas pengawal pantai Filipina membuat tuduhan serupa terhadap bot China di kawasan yang sama.

    Scarborough Shoal merupakan rantaian segi tiga terumbu dan batu di Laut China Selatan (SCS) yang dipertikaikan telah menjadi pusat strategik antara negara sejak China merampasnya dari Filipina pada 2012.

    Sejak itu, Beijing telah mengerahkan bot peronda yang dikatakan Manila mengganggu kapal Filipina dan menghalang nelayan Filipina daripada sampai ke lagun di mana terdapat lebih banyak ikan.

    Dalam insiden terbaharu, sebuah kapal tentera laut China, kapal pengawal pantai China dan bot China yang lain mengekori kapal Biro Perikanan dan Sumber Akuatik Filipina (BFAR) yang membawa makanan dan bahan api kepada nelayan Filipina, membolehkan mereka memperolehi tangkapan lebih besar.

    Wartawan AFP dan wartawan dari beberapa cawangan tempatan berada di atas BRP Datu Tamblot Filipina untuk perjalanan pergi dan balik tiga hari itu.

    Kapal Datu Tamblot dan pengawal pantai China sering bertikam lidah di dalam radio berulang kali antara satu sama lain, setiap pihak menuduh satu sama lain menceroboh perairan mereka.

    Pada kali empat, kapal pengawal pantai China menghalang seketika Datu Tamblot dengan melintasi haluannya dan berhenti di laluannya ketika ia menghampiri kawasan perairan nelayan itu.

    “Ia tidak dibenarkan bagi mana-mana kapal untuk menghalang laluan kapal lain kerana ia sangat berbahaya,” kata Laksamana Pengawal Pantai Filipina, Jay Tarriela, pada sidang media di Manila kelmarin. – AFP

    Gambar bertarikh pada 15 Februari 2024 menunjukkan nelayan Filipina di atas bot kayu mereka beratur untuk mendapatkan minyak percuma di sebelah BFAR BRP Datu Tamblot (kiri) manakala kapal pengawal pantai China memantau berhampiran Scarborough Shoal. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda