Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Pasukan Jabatan Perhutanan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) A muncul juara bagi Kategori Beregu Lelaki Terbuka dalam Kejohanan Dart di antara Kementerian-kementerian Sempena Hari Perkhidmatan Awam ke-31 tahun, 2024.
Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Jabatan Daerah Brunei dan Muara dan dikendalikan oleh Kelab Dart KBT Brunei Darussalam yang diadakan di Hab Sukan, Annex C, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Sementara itu, johan bagi kategori Perseorangan Lelaki Terbuka disandang oleh Awang Yusri bin Haji Ibrahim dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), manakala naib johan disandang oleh Awang Zulkifli bin Haji Matali dari KSSUP dan tempat ketiga dimenangi oleh Awang Isa bin Haji Ahad dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MOHA).
Sehubungan itu, majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.
Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan Doa Selamat dan seterusnya menyaksikan Perlawanan Dart Peringkat Akhir Kategori Beregu Lelaki Terbuka dan Peringkat Akhir Kategori Perseorangan Lelaki Terbuka.